Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – Trump & Pemimpin Serantau Berhimpun – Sorotan, Video & Analisis – Ikuti Di Sini
MALAYSIA

Jalan Tun Sardon masih ditutup, terdapat batu jatuh - Exco

Bernama 28/10/2025 | 07:54 MYT
Pemeriksaan JKR hari ini, mendapati berlaku kejadian beberapa bongkah batu jatuh disebabkan keadaan tanah yang longgar. - Sumber foto FB Zairil Khir Johari
GEORGE TOWN: Laluan P14 Jalan Tun Sardon (Bukit Baru) dekat sini masih ditutup kepada semua kenderaan bagi membolehkan kerja pembersihan dan pemantauan cerun terus dilakukan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk memastikan tahap keselamatannya sebelum dibuka.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri Zairil Khir Johari berkata pemeriksaan JKR hari ini, mendapati berlaku kejadian beberapa bongkah batu jatuh disebabkan keadaan tanah yang longgar.

"Kejadian cerun runtuh di jalan itu berpunca daripada hujan berterusan selama dua hingga tiga hari, menyebabkan beberapa cerun tidak stabil," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Jalan P14 iaitu Jalan Tun Sardon yang menghubungkan Paya Terubong ke Balik Pulau ditutup sejak petang 23 Okt dan dijangka dibuka semula pada 31 Okt, namun boleh dibuka lebih awal bergantung kepada penilaian semasa.

Selain itu, Zairil berkata Jalan Persekutuan FT006 yang mengelilingi pulau dari Teluk Bahang ke Balik Pulau berhampiran Titi Kerawang yang terjejas akibat cerun runtuh sebelum ini, dibuka separuh hanya untuk kenderaan ringan.

Beliau berkata kerajaan Persekutuan juga telah meluluskan peruntukan kerja kecemasan bagi membaiki cerun di kawasan tersebut yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

-- BERNAMA


#Jabatan Kerja Raya #Laluan P14 Jalan Tun Sardon Bukit Baru #jalan tutup #Zairil Khir Johari