[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
NATIONAL

Jalur Gemilang: Bendera simbol kedaulatan negara, kesilapan perlu diambil serius - PM Anwar

Bernama 18/04/2025 | 08:22 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan sidang akhbar sempena lawatan kerja dua hari ke Bangkok, Thailand, hari ini. - Foto Bernama
BANGKOK: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata isu kesilapan menyiarkan imej Jalur Gemilang yang tidak lengkap, tidak boleh dipandang ringan kerana bendera adalah simbol kedaulatan dan maruah negara.

Ringkasan AI
  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa bendera adalah simbol kedaulatan dan maruah negara, dan kesilapan melibatkan Jalur Gemilang tidak boleh dipandang ringan.
  • Anwar menyeru agar siasatan insiden ini dijalankan mengikut proses undang-undang tanpa tekanan atau tindakan berlebihan.
  • Akhbar Sin Chew Daily memohon maaf atas kesilapan teknikal yang menyebabkan paparan Jalur Gemilang tidak lengkap, yang turut mendapat kritikan pelbagai pihak termasuk Yang di-Pertuan Agong.

Beliau yang sedang dalam lawatan dua hari ke Thailand turut mengingatkan semua pihak agar berhati-hati dan tidak mengambil mudah sebarang kesilapan melibatkan Jalur Gemilang.
"Untuk mana-mana negara pun, soal bendera itu simbol yang sangat penting. Ini bukan soal ringan, biarlah proses undang-undang (dijalankan)," katanya kepada pemberita Malaysia selepas menamatkan sesi lawatan kerjanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas insiden paparan Jalur Gemilang tanpa bulan sabit di muka hadapan akhbar berbahasa Cina tempatan, Sin Chew Daily tiga hari lepas lepas.
Anwar berkata siasatan perlu diteruskan mengikut proses undang-undang yang sewajarnya, tanpa tekanan atau tindakan berlebihan.
"Saya juga beritahu supaya jangan nampak kita nak berlebih-lebihan hanya semata-mata kerana tuntutan, dia kena ikut proses undang-undang," katanya.
Selasa lepas Sin Chew Daily menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang di muka hadapannya sempena liputan lawatan negara Presiden China Xi Jinping ke Malaysia, namun gambar bendera tersebut tidak lengkap.
Insiden itu mendapat kritikan pelbagai pihak termasuk Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang bertitah pihak pengurusan dan jabatan pengarang akhbar berkenaan seharusnya lebih peka serta menyemak sesuatu bahan terlebih dahulu sebelum dicetak untuk siaran.
Berikutan itu, akhbar berkenaan tampil memohon maaf dan menjelaskan bahawa ia adalah kesilapan teknikal yang tidak disengajakan.
-- BERNAMA
#Perdana Menteri #Anwar Ibrahim #Jalur Gemilang #Sin Chew Daily #terkini