MALAYSIA
Jalur Gemilang perlu dihormati, dikibarkan penuh patriotik - Loke

Loke dalam ucapannya berkata semangat kemerdekaan dan kecintaan terhadap Jalur Gemilang perlu sentiasa disemai dalam kalangan rakyat. -Gambar fail/Bernama
SEREMBAN: Semua pihak diingatkan agar tidak memandang remeh berkaitan pengibaran Jalur Gemilang, sebaliknya ia perlu dilakukan dengan rasa hormat dan kepekaan, kata Setiausaha Agung DAP Anthony Loke.
Ringkasan AI
- Anthony Loke menekankan kepentingan mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh hormat dan semangat patriotik, serta menyeru agar kesilapan seperti pemasangan terbalik tidak dipandang remeh.
- Beliau mengulas insiden bendera terbalik di SJKC Chung Hua sebagai kecuaian tidak disengajakan dan meminta laporan disediakan untuk siasatan oleh Kementerian Pendidikan.
- Loke turut menjawab kritikan terhadap pelantikan senator dari luar Negeri Sembilan, menyatakan keputusan dibuat oleh kepimpinan parti dan menyeru agar ketidakpuasan disuarakan melalui saluran dalaman.
"Dalam hal ini sekolah itu perlu sediakan laporan dan diserahkan kepada Kementerian Pendidikan untuk menyiasat jika tindakan tersebut disengaja atau tidak," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Bulan Kemerdekaan Peringkat Parlimen Seremban di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chan Wa, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas insiden pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di premis Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua, Port Dickson Jumaat lepas.
Menurut kenyataan bersama Lembaga Pengelola, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pentadbiran sekolah, pihak terbabit meluahkan rasa kesal terhadap insiden itu yang disifatkan sebagai kecuaian tidak disengajakan.
Terdahulu, Loke dalam ucapannya berkata semangat kemerdekaan dan kecintaan terhadap Jalur Gemilang perlu sentiasa disemai dalam kalangan rakyat.
"Usaha mendidik dan menyampaikan makna sebenar bendera negara kepada pelajar sekolah amat penting, agar mereka memahami nilai dan erti di sebalik lambang kebangsaan itu.
"Sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya berasa bangga kerana memiliki sebuah negara yang merdeka dan mempunyai identiti tersendiri, termasuklah Jalur Gemilang," katanya.
Dalam perkembangan lain, Loke merangkap Pengerusi DAP negeri berkata usul pelantikan senator akan dibentangkan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, esok.
"Amalan kebiasaannya di setiap negeri ialah parti komponen di kerajaan negeri akan mencadangkan nama-nama (untuk mengisi jawatan itu). Sejak 2018, PKR dan DAP masing-masing telah diperuntukkan satu kerusi dan individu tersebut boleh berasal dari mana-mana sahaja, asalkan mereka warganegara Malaysia," katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Kelab Veteran DAP Negeri Sembilan yang dilaporkan mengecam jawatankuasa parti negeri kerana didakwa "menggadai" kepentingan rakyat Negeri Sembilan dengan mencadangkan pelantikan "orang luar" sebagai senator.
Pada sidang media itu, mereka mengenakan pelitup muka khas menyerupai tuala wanita sebagai simbol menyindir ahli jawatankuasa DAP negeri, kerana membisu berhubung pelantikan Vincent Wu Him Ven, yang berasal dari Johor.
"Pertamanya, tindakan yang diambil oleh mereka tidak wajar dan amat tidak sensitif. Jika mereka tidak berpuas hati, terdapat saluran dalaman untuk menyuarakan rasa tidak puas hati mereka.
""Dalam mana-mana parti politik, menjadi perkara biasa keputusan dibuat oleh kepimpinan dan bukan semua keputusan boleh memuaskan hati semua pihak," kata Loke.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami