NATIONAL
Jalur Gemilang: Sin Chew gantung tugas dua editor
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di portalnya, pengurusan akhbar itu berkata, keputusan tersebut dibuat berdasarkan prinsip akauntabiliti. - Gambar Sin Chew Daily
KUALA LUMPUR: Sin Chew Daily telah menggantung tugas Ketua Pengarangnya, Chan Aun Kuang dan Timbalan Ketua Penyunting Berita susulan penyiaran imej Jalur Gemilang tanpa bulan sabit di muka depan akhbar tersebut.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di portalnya, pengurusan akhbar itu berkata, keputusan tersebut dibuat berdasarkan prinsip akauntabiliti.
"Susulan kesilapan yang melibatkan penyiaran imej Jalur Gemilang di muka depan Sin Chew Daily, Sin Chew telah memutuskan untuk menggantung kedua-dua mereka," jelas kenyataan itu.
Kenyataan itu menambah, penggantungan itu berkuat kuasa serta-merta dan akan kekal sehingga siasatan polis berhubung perkara itu selesai.
Terdahulu pada Khamis, kedua-dua mereka memberikan keterangan kira-kira tiga jam kepada polis.
Akhbar itu telah memohon maaf atas kesilapan berkenaan dan memaklumkan akan mengambil tindakan tatatertib terhadap kakitangan yang bertanggungjawab atas kesalahan itu.
Mereka juga berjanji akan meningkatkan prosedur semakan untuk penerbitannya, terutamanya dalam penggunaan kecerdasan buatan.