MALAYSIA

Jalur Gemilang terbalik: Individu terlibat OKU - ADUN Lukut

Bernama 04/08/2025 | 15:45 MYT
Choo berharap semua pihak tidak lagi menularkan perkara berkenaan selain pengurusan sekolah juga telah memohon maaf atas insiden itu. - Gambar Facebook Dato' Seri Utama Haji Aminuddin Harun
SEREMBAN: Individu yang memasang bendera Jalur Gemilang secara terbalik di sebuah sekolah di Port Dickson ialah Orang Kurang Upaya (OKU), kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lukut Choo Ken Hwa.

Choo berkata beliau sendiri turun padang untuk bertemu pihak sekolah pada hari kejadian.

"Hal ini berlaku sebab pihak Guru Besar libatkan seorang pekerja OKU.

"Dia pakai bendera lama, dia pasang lepas itu dia pun balik. Selepas dimaklumkan dalam dua jam (bendera) itu telah diturunkan, jadi ia bukan disengajakan, jangan diviralkan perkara itu dan kata sekolah tak cintakan negara," katanya ketika bangun mencelah bagi menjelaskan isu itu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan hari ini.

Justeru, Choo berharap semua pihak tidak lagi menularkan perkara berkenaan selain pengurusan sekolah juga telah memohon maaf atas insiden itu.

Semalam, media melaporkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Port Dickson memohon maaf secara terbuka susulan insiden pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di premis sekolah berkenaan pada Jumaat.

Dalam kenyataan bersama Lembaga Pengelola, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pentadbiran sekolah meluahkan kekesalan terhadap insiden itu yang disifatkan sebagai kecuaian tidak disengajakan.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Maslan Udin dalam kenyataan hari ini berkata polis telah mengenal pasti seorang lelaki warga tempatan berusia 30 tahun bagi membantu siasatan kes berkenaan.

-- BERNAMA


#OKU #Jalur Gemilang #PIBG #polis