MALAYSIA
Jalur Gemilang terbalik: Polis tahan pemilik premis

Mohd Alwi berkata lelaki berusia 59 tahun itu ditahan di sekitar kawasan di Kepala Batas malam tadi. - Gambar fail/Bernama
KEPALA BATAS: Polis menahan pemilik kedai perkakasan di Jalan Bertam Perdana di sini, bagi membantu siasatan insiden Jalur Gemilang dipasang secara terbalik di hadapan premisnya, semalam.
Ringkasan AI
- Pemilik Kedai Ditahan: Lelaki berusia 59 tahun ditahan bagi membantu siasatan insiden Jalur Gemilang dipasang terbalik di premisnya di Jalan Bertam Perdana.
- Siasatan di Bawah Tiga Akta: Kes disiasat mengikut Akta Lambang dan Nama 1963, Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955, dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
- Reaksi Awam & Laporan Polis: Sebanyak 16 laporan polis diterima selepas video insiden tular, termasuk daripada NGO dan ADUN Bertam, dengan polis memberi amaran agar simbol negara dihormati.
"Kertas siasatan akan dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya Pulau Pinang esok dengan cadangan pertuduhan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata setakat ini polis telah menerima 16 laporan berhubung kejadian itu dengan 12 daripadanya dibuat di negeri ini manakala empat lagi laporan di luar Pulau Pinang.
Mohd Alwi berkata pihaknya memandang serius perbuatan seumpama itu dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang melakukannya, sambil mengingatkan orang ramai agar menghormati Jalur Gemilang sebagai simbol kedaulatan negara.
Semalam tular melalui media sosial video berdurasi 21 saat memaparkan tindakan dua lelaki di sebuah kedai perkakasan di sini, yang seperti sengaja memasang dan mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik hingga mendapat kecaman warganet.
Berikutan itu, beberapa pertubuhan bukan kerajaan dan Ahli Dewan Undangan Negeri Bertam Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican membuat laporan polis.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami