Ketua kumpulan Baju Merah, Datuk Seri Jamal Md Yunus mendakwa diserang dan ditumbuk oleh 'budak Zuraida' di Ampang pada Ahad, lapor Malaysiakini.

Kejadian kira-kira 4 petang itu berlaku ketika Jamal bersama kumpulannya mengekori anggota Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin serta pengikutnya yang sedang mempromosi perhimpunan Bersih di sebuah pusat beli-belah.

Sejurus kemudian difahamkan berlaku kekecohan akibat provokasi hingga berlaku adegan tolak-menolak antara penyokong kedua-dua kumpulan.

Ketika pergeseran semakin tegang dan cuba dileraikan pihak polis, Jamal telah dikasari dan akibatnya Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar itu berdarah di bahagian hidungnya.

Dalam video yang disiarkan portal berkenaan, pada awalnya Jamal mendakwa 'ditumbuk anggota polis'.

"Polis tumbuk saya...polis tumbuk saya," jerit Jamal ketika kekecohan tercetus dalam pusat beli-belah itu namun pada penghujung video selepas dia berada di luar bangunan, Jamal mendakwa 'budak Zuraida' yang menumbuknya.

Jamal jelas tidak berpuas hati dengan insiden itu memberitahu akan bertindak balas.

"Saya akan cincang," kata Jamal dalam kekecohan di kawasan awam tersebut.

Menerusi laman Facebooknya Jamal menulis: "Darah pasti diganti dengan darah."

Jamal telah membuat laporan polis tentang kejadian itu di Balai Polis Ampang kira-kira jam 5 petang.