Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) John Kerry berkata dedikasi Allahyarham Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dalam mempromosi perkongsian antara AS-Malaysia akan membuahkan hasil dalam masa akan datang.

Beliau berkata ini dijangka berlaku kerana kedua-dua negara terus berusaha secara bersama ke arah pertumbuhan ekonomi, keselamatan dan pendidikan.

Kerry berkata Jamaluddin menumpukan usahanya selaku Duta Khas Malaysia ke Amerika Syarikat dari 2009-2012 untuk membawa hubungan bilateral kedua-dua negara ke satu peringkat kerjasama yang baharu.

"Sekembalinya ke Kuala Lumpur selepas menamatkan tugasnya sebagai duta, beliau masih merupakan penyokong kuat dan efektif kepada perkongsian kami," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Negara AS.

Kerry juga mengucap takziah kepada keluarga dan rakan mangsa nahas helikopter itu.

"Ingatan dan doa saya bersama semua rakyat Malaysia di masa kesedihan ini," katanya.

GALERI FOTO: Upacara pengebumian Tan Sri Jamaluddin Jarjis di Makam Pahlawan

Selain daripada Jamaluddin yang juga merupakan Anggota Parlimen Rompin dan Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia, turut terkorban dalam nahas itu ialah Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Datuk Azlin Alias, juruterbang helikopter Clifford Fournier, pembantu operasi Aidana Baizieva, pengawal peribadi Jamaluddin, Razakan B Seran dan usahawan Datuk Tan Huat Seang.

Helikopter Dauphin AS365N2 yang membawa Jamaluddin dan lima lagi mangsa jatuh terhempas di sebuah kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih Selangor pada pukul 4.55 petang Sabtu lepas.