[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
NATIONAL

Jambatan Bailey ganti sementara Jambatan Sungai Liat dijangka dibuka 30 April - Ahmad Maslan

Bernama 22/04/2025 | 04:30 MYT
Ahmad Maslan (kanan) ketika melawat jambatan Sungai Liat yang runtuh akibat hakisan pada Sabtu lepas di Felda Sungai Klah hari ini. - Foto Bernama
SUNGKAI: Jambatan Bailey yang akan dibina menggantikan sementara Jambatan Sungai Liat yang runtuh pada 20 April, dijangka boleh digunakan 30 April ini, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan.

Ringkasan AI
  • Jambatan Bailey sepanjang 46 meter akan dibina bagi menggantikan sementara Jambatan Sungai Liat yang runtuh pada 20 April dan dijangka boleh digunakan pada 30 April setelah jalan menuju jambatan diperbaiki.
  • Penduduk di kawasan terjejas terpaksa menggunakan laluan alternatif sepanjang 1.7 kilometer yang hanya sesuai untuk kenderaan pacuan empat roda, sehingga jambatan sementara disiapkan.
  • Jambatan kekal di lokasi tersebut akan dibina dengan kos dianggarkan sebanyak RM3 juta untuk penyelesaian jangka panjang.

Beliau berkata jambatan sepanjang 46 meter itu akan mula dibina esok dan dijangka siap pada 27 April, namun struktur jalan menuju ke jambatan perlu diperbaiki terlebih dahulu.
"Kita harap ia akan dapat disiapkan seperti jangkaan kita, memandangkan jambatan itu digunakan setiap hari oleh penduduk yang tinggal di sekitar kawasan ini," katanya pada sidang media selepas meninjau lokasi runtuhan di Felda Sungai Klah, di sini yang turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang Salina Samsudin.
Pada 20 April, Jambatan Sungai Liat dilaporkan runtuh sekali gus menyebabkan laluan keluar masuk yang menghubungkan Felda Residence Hot Spring, Kampung Tisong serta Buyong Mas Sanctuary Campsite terputus.
Kejadian itu turut mengakibatkan 136 individu termasuk 81 pelajar sebuah politeknik di ketiga-tiga kawasan terbabit, terkandas.
Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata sebuah jambatan Bailey akan dibina bagi menggantikan sementara jambatan tersebut.
Ahmad berkata sebuah jambatan kekal dianggarkan bernilai kira-kira RM3 juta akan dibina di lokasi tersebut.
Sementara itu Salina berkata pihaknya berharap jambatan itu dapat disiapkan seperti dijangka, memandangkan buat masa ini penduduk di kawasan terjejas terpaksa menggunakan laluan alternatif untuk ke pekan Sungkai.
"Bagaimanapun laluan alternatif sepanjang 1.7 kilometer itu perlu melalui jalan kebun sawit, selain hanya boleh dilalui atau digunakan oleh mereka yang mempunyai kenderaan pacuan empat roda sahaja," katanya.
-- BERNAMA
#jambatan bailey #Jambatan Sungai Liat #Ahmad Maslan #Sungkai #terkini