Jambatan bengkok tidak perlu kelulusan Singapura - Tun M

Harits Asyraf Hasnan
Oktober 18, 2018 12:45 MYT
Namun begitu, Dr Mahathir menegaskan Malaysia masih perlu mendapatkan kelulusan Singapura jika ingin membina jambatan ketiga menghubungkan Johor Bahru dan Republik itu. - Gambar fail
Malaysia tidak perlu mendapatkan sebarang kelulusan daripada kerajaan Singapura untuk membina jambatan bengkok.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan hasrat untuk melaksanakan projek itu langsung tidak membabitkan Singapura.
Namun begitu, Dr Mahathir menegaskan Malaysia masih perlu mendapatkan kelulusan Singapura jika ingin membina jambatan ketiga menghubungkan Johor Bahru dan Republik itu.
“Mereka (kerajaan Johor) cakap mahu membina jambatan bengkok tetapi ada pihak lain pula kata tidak mahu jambatan bengkok. Cadangan ini datangnya daripada kerajaan negeri.
“Untuk pembinaan jambatan ketiga kena minta kebenaran daripada Singapura tetapi Singapura mungkin tak benarkan kerana pembinaan jambatan bengkok langsung tidak membabitkan Singapura.
“Jadi, kita boleh bina jambatan bengkok pada bila-bila masa, namun bagi jambatan ketiga (kita) kena minta (kebenaran) Singapura,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen selepas pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) hari ini.
BACA: Apa yang kita tahu tentang 'jambatan bengkok'?
Pada Selasa, Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian berkata Perdana Menteri bersetuju dengan cadangan pembinaan jambatan bengkok jika kerajaan Johor hendak meneruskan projek berkenaan.
Namun, Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong yang berbeza pendapat menyifatkan pembinaan jambatan ketiga lebih penting dalam menangani masalah trafik.
#jambatan bengkok #Johor Bahru #Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 #kerajaan #Mahathir Mohamad #Osman Sapian #rakyat #RMK11 #Singapura #trafik