23 Delegasi Malaysia Bebas dari Israel, Kini di Istanbul untuk Pemeriksaan & Sokongan – Ikuti Perkembangan Terkini di sini
MALAYSIA

Jamin hak Palestin selamat, merdeka dan berdaulat intipati perbincangan dengan Trump - PM Anwar

Khalis Khadir 04/10/2025 | 10:15 MYT
Perdana Menteri berkata, pendirian Malaysia mengenai perjanjian damai digagaskan oleh Trump itu turut bergantung kepada keputusan negara-negara Arab, dunia Islam dan Hamas. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, intipati perbincangan dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berhubung rundingan damai terkini adalah menjamin hak Palestin untuk hidup selamat, merdeka dan berdaulat.


Ringkasan AI
  • PM Anwar tegaskan rundingan dengan Donald Trump berhubung pelan damai terkini mesti menjamin hak Palestin untuk hidup selamat, merdeka dan berdaulat.
  • Malaysia beri dukungan terbatas terhadap cadangan damai, bergantung kepada keputusan negara Arab, dunia Islam dan Hamas yang telah menerima syarat hentikan serangan, bebaskan Gaza dan tahanan.
  • Pembebasan 23 aktivis Malaysia berjaya dicapai, dengan rundingan turut menyentuh isu kemanusiaan global dan akses bantuan ke Gaza; aktivis dijangka pulang selepas transit di Istanbul.


Menurut beliau, pendirian Malaysia turut bergantung kepada keputusan negara-negara Arab, dunia Islam dan Hamas.

“Ini pengajaran yang tersebar di seluruh dunia dan saya percaya rundingan terakhir yang digagaskan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump itu juga berhasil sebahagiannya kerana sentimen yang menyeluruh dalam kalangan seluruh rakyat dunia.

"Mengenai perjanjian itu, saya menyatakan dukungan terbatas kerana kita masih mahu melihat jaminan kebebasan kemerdekaan Palestin, tetapi keputusan Kerajaan MADANI ini tentunya terikat dengan keputusan negara Arab, negara Islam dan keputusan Hamas sendiri.

"Hal ini kerana Hamas menerima kenyataan pertama, bahawa harus ada hentikan serangan, bebaskan Palestin dan Gaza, berikan ruang kemanusiaan serta bebaskan semua tahanan baik di Gaza atau di Israel," katanya dalam sidang media khas pembebasan aktivis Global Sumud Nusantara pada Sabtu.

[TERKINI] Perkembangan terkini usaha bawa pulang aktivis Malaysia


Mengulas pembebasan kesemua 23 aktivis Malaysia yang dijangka mula pulang ke tanah air bermula esok malam atau lusa, Anwar berkata, rundingan kerajaan bukan sekadar menumpukan kepada keselamatan rakyat Malaysia.

Sebaliknya kata beliau, usaha itu dilakukan secara menyeluruh dengan turut menyentuh isu kemanusiaan global termasuk hak rakyat Palestin serta akses bantuan antarabangsa ke Gaza.

“Kita juga bicara mengenai semua termasuk Eropah, rakan Indonesia dan negara lain yang bersama dalam rombongan pembebasan GSF, yang pada hemat saya sangat berjaya dari sudut ini. Walaupun tidak mudah untuk sampai di rejim penjajahan Israel, usaha ini memberi kesedaran besar kepada masyarakat dunia mengenai kezaliman yang berlaku, terutama terhadap rakyat Palestin.

“Ini hanya berlaku kalau negara itu dipimpin dengan falsafah yang sangat kejam, tidak bertamadun. Negara yang bertamadun sekurang-kurangnya akan memberi ruang untuk bantuan kemanusiaan.

“Setakat ini, tumpuan utama saya adalah memastikan rakyat Malaysia pulang dengan selamat. Kita doakan perjalanan mereka ke Kuala Lumpur dipermudahkan Allah SWT,” ujarnya lagi.


#Anwar Ibrahim #Donald Trump #Hamas #perjanjian damai #Palestin #terkini