KUALA LUMPUR: Jaminan pembiayaan melebihi 100 peratus menerusi Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) di bawah Belanjawan 2027 dapat membantu golongan muda memiliki rumah pertama, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
Beliau berkata jaminan pembiayaan sehingga 120 peratus itu turut meliputi kos pengubahsuaian serta pembelian kelengkapan rumah seperti penyaman udara dan perabot.
“Ini memang satu inisiatif yang sangat bermanfaat, terutamanya kepada pemuda-pemudi yang ingin mendirikan rumah tangga,” katanya ketika ditemui selepas pembentangan Belanjawan 2027 di Parlimen hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan belanjawan itu mengumumkan kerajaan akan menambah RM20 bilion kepada dana jaminan SJKP, yang dijangka membantu 80,000 lagi pembeli rumah pertama pada tahun depan.
Nga berkata setakat ini SJKP telah membantu lebih 100,000 pembeli rumah pertama mendapatkan pembiayaan perumahan.
Selain itu, beliau turut memuji inisiatif kerajaan memberikan pengecualian penuh duti setem kepada pembeli rumah pertama bagi kediaman berharga RM500,000 ke bawah manakala pembelian rumah berharga RM750,000 ke bawah layak mendapat pengurangan duti setem sebanyak 50 peratus, mulai 1 Jan 2027.
Dalam pada itu, Nga memaklumkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerima peruntukan RM1.16 bilion bagi penyediaan dan penyelenggaraan perumahan awam, termasuk RM157 juta untuk Program Perumahan Rakyat (PPR) pada tahun depan.
Beliau berkata peruntukan itu membolehkan kerja penyelenggaraan seperti penggantian lif, pembaikan bumbung bocor dan pengecatan bangunan dilaksanakan demi meningkatkan keselesaan penduduk.
Menurut Nga, peruntukan bagi penyelenggaraan rumah ibadat bukan Islam turut ditingkatkan kepada RM80 juta manakala pembangunan Kampung Baru Cina menerima RM100 juta.
“Secara kesimpulannya, jelas ini adalah belanjawan yang berjiwa rakyat, bervisi jauh serta mampu untuk terus mengangkat ekonomi negara dengan dua tujuan, iaitu mengangkat martabat negara dan mensejahterakan rakyat,” katanya.
-- BERNAMA