PUTRAJAYA: Agenda jaminan perlindungan sosial perlu dibuka seluas-luasnya dan diremajakan bagi memastikan keseimbangan antara keperluan perdagangan serta kepenggunaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kaedah sedia ada seperti wakaf, pemberian, perusahaan sosial juga wajar diketengahkan supaya menjadi pelengkap kepada penyasaran semula subsidi.

“Sekiranya kita mempunyai jaminan perlindungan sosial dan penyasaran semula subsidi serta peranan pihak seperti wakaf, baitulmal dan lain-lain, saya percaya pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) oleh pencarum kerana kecemasan luar biasa boleh dinoktahkan.

“Kerangka keseluruhan ini sewajarnya boleh 'menyambut' kehidupan yang sukar kepada rakyat Malaysia, sama ada di ketika keadaan biasa dan juga krisis,” katanya dalam teks ucapan yang dibaca oleh pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, hari ini.

Armizan membacakan teks itu ketika mewakili Ahmad Zahid merasmikan Simposium Kos Sara Hidup 2023 di Pusat Pameran dan Konvensyen, IOI City Mall, Putrajaya pada Selasa.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menambah, kerajaan berharap
jaringan perlindungan sosial dapat dibincangkan dengan lebih mendalam.

Jelas beliau, pelbagai perkara telah diberikan fokus hasil daripada SCOL 2021 seperti subsidi bersasar, pendapatan, memperkukuhkan agenda persaingan serta takrifan penerima, iaitu tidak lagi melihat kepada kumpulan pendapatan tetapi lebih kepada pendapatan boleh guna.

“Justeru, SCOL 2023 perlu membincangkan perkara lain supaya ia boleh diberikan penekanan dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

“Saya berharap jaringan perlindungan sosial mendapat pelbagai maklum balas, input dan cadangan.

“Penubuhan Kluster Pendapatan di bawah Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup (Naccol) adalah satu langkah awal,  di mana ia turut membincangkan jaringan perlindungan sosial,” kata Ahmad Zahid lagi.

Simposium bertajuk “Menangani Kos Sara Hidup Tanggungjawab Bersama” berlangsung selama dua hari mulai hari ini.