KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memberi amaran dan peringatan keras kepada orang ramai untuk tidak mengambil tindakan sendiri berhubung apa jua insiden yang berlaku di negara ini.

Beliau berkata, meskipun pihak terlibat merasakan mempunyai hak terhadap apa yang berlaku, namun negara mempunyai sistem perundangan yang harus dipatuhi.

Menurutnya, orang ramai atau kumpulan tertentu tidak perlu mengambil tindakan sendiri yang kononnya dirasakan wajar.

"Tidak perlu kita ambil tindakan sendiri. Jangan rasa ada hak, maka kita mahu ambil tindakan sendiri.

"Tidak ada hak (melakukannya). Malaysia ada undang-undang dan kita perlu patuh kepadanya," katanya dalam sidang akhbar pada Jumaat.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kejadian individu melempar bahan letupan, molotov koktel ke arah kedai serbaneka KK Mart ekoran kes stoking tertera kalimah Allah.

Terdahulu, Razarudin menyaksikan serah terima tugas Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid kepada Datuk Rusdi Mohd Isa.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, pihak polis menyifatkan kes melibatkan KK Mart sudah selesai dan orang ramai tidak perlu memperbesarkan lagi isu tersebut.

Tegas beliau, PDRM juga sentiasa memantau rapi hantaran-hantaran di media sosial yang boleh membangkitkan amarah serta sensitiviti antara kaum dan agama.

Sehubungan itu kata beliau, orang ramai dinasihatkan untuk tidak memainkan dan menimbulkan isu berhubung 3R (agama, raja serta kaum).

Jelasnya, perkara seumpama itu akan mengundang kegusaran dan ketidaktenteraman dalam kalangan masyarakat.

Menurut beliau, semua laporan yang dibuat oleh orang ramai akan disiasat pihak polis secara menyeluruh.
Sementara itu ditanya mengenai pindaan Seksyen 21 Kanun Keseksaan yang diluluskan Dewan Rakyat, beliau berkata, pindaan akta tersebut memang satu keperluan.

Katanya, perkara itu akan memperkukuhkan lagi akta sedia ada iaitu membabitkan tindakan menghalang tugas penjawat awam.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian