Skip to main content

Malaysia

Jangan ambil tindakan terhadap wartawan sewenangnya, perlu rujuk Majlis Media Malaysia - Anwar

KUALA LUMPUR, 7 Julai -- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab soalan pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri sempena Mesyuarat Kedua, Penggal Kelima, Majlis Parlimen Kelima Belas di Bangunan Parlimen hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Anwar menjawab soalan pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri sempena Mesyuarat Kedua, Penggal Kelima, Majlis Parlimen Kelima Belas di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, hari ini. --fotoBERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sebarang aduan terhadap wartawan daripada organisasi media yang diiktiraf tidak lagi membawa kepada tindakan automatik, sebaliknya perlu dirujuk terlebih dahulu kepada Majlis Media Malaysia (MMM).

Beliau berkata mekanisme itu diwujudkan bagi memastikan sebarang tindakan terhadap pengamal media dibuat secara lebih adil, telus dan bebas, sekali gus mengelakkan wartawan diheret ke dalam siasatan atau pendakwaan tanpa penelitian sewajarnya.

Anwar berkata wartawan tidak sepatutnya mudah dikenakan tindakan hanya kerana terdapat aduan daripada mana-mana pihak dan MMM akan menjadi mekanisme semakan awal sebelum sebarang tindakan diambil.

Tidak ada undang-undang di dunia yang beri kebebasan mutlak kepada semua media untuk nyatakan apa saja...Perdana Menteri, pengamal media (masing-masing) terikat dengan undang-undang. Tetapi saya setuju, jangan heret wartawan dengan mudah dalam kes-kes yang difikir (mengkritik) oleh jabatan kerajaan.

“Kita mewujudkan MMM ini bagi memudahkan kerana kalau ada keterlanjuran oleh media, dia dirujuk pada MMM, tidak automatik didakwa atau disiasat kerana proses sekarang ini harus dirujuk kepada MMM sebelum diambil apa-apa tindakan," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) berhubung pendirian kerajaan terhadap kerangka perundangan Malaysia yang membolehkan pengamal media dikenakan hukuman di bawah Akta Hasutan 1948 dan Akta Rahsia Rasmi 1972 yang secara tidak langsung seperti menyekat kebebasan media.

Anwar berkata penubuhan MMM merupakan antara langkah kerajaan memperkukuh kebebasan media secara bertanggungjawab, di samping memastikan profesion kewartawanan terus dilindungi dalam kerangka undang-undang negara.

“Sepanjang tempoh setahun lepas, tiada kes pendakwaan membabitkan wartawan walaupun pelbagai aduan diterima daripada pelbagai pihak,” kata beliau.

Dalam pada itu, mengulas dakwaan penggunaan logo Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada siaran Facebook membabitkan program politik, Anwar berkata perkara itu akan disemak sekiranya benar-benar berlaku.

“Saya tidak ikuti, tapi kalau itu benar, kita boleh betulkan. Tapi kenyataan saya itu dilaporkan, saya tak ada salah, cuma isunya logo RTM sahaja,” katanya menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) berhubung dakwaan penggunaan media rasmi kerajaan untuk siaran program politik.

Perdana Menteri berkata berkata mana-mana pihak yang mendapati terdapat laporan atau kandungan tidak tepat di media sosial boleh mengemukakan aduan sama ada terus kepada platform berkenaan atau kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), yang seterusnya boleh memohon tindakan daripada pengendali platform.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan permohonan itu tidak semestinya dipersetujui kerana keputusan akhir bergantung kepada dasar dan pertimbangan platform media sosial terbabit.

Anwar berkata mekanisme melalui MMM dan saluran aduan kepada MCMC merupakan antara usaha kerajaan memastikan kebebasan media terus dipelihara tanpa mengabaikan tanggungjawab terhadap undang-undang serta kepentingan awam.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement