Jangan bimbang isu ketidakadilan antara kaum - Anwar

Astro Awani
September 1, 2018 12:16 MYT
Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) berbual dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada majlis penutup Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 hari ini. - Foto Bernama
Semua kaum diminta tidak bimbang dengan isu ketidakadilan yang dikatakan mungkin timbul dalam pentadbiran kerajaan baharu kini.
Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia sekali gus tidak akan meminggirkan bumiputera dalam isu hak yang termaktub dalam Perlembagaan selama ini.
"Saya ingin menegaskan bahawa dari segi fikrah yang dilontarkan oleh perdana menteri pagi tadi menjelaskan bahawa kita tidak akan pinggirkan golongan minoriti kerana kita pertahankan prinsip keadilan bagi semua, dan ingin saya dokong sepenuh hati," katanya semasa berucap pada majlis penutup Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara (KBN) 2018 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, hari ini.
Jelasnya, kongres kali ini merupakan ruang untuk Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menjelaskan peranan kerajaan dalam isu berkaitan.
Tegasnya, pemantauan seharusnya dimulakan dari jabatan kerajaan untuk memastikan pimpinan baru kali ini tidak melakukan penyelewengan.
#Anwar Ibrahim #Bumiputera #hubungan kaum #Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara #Mahathir Mohamad #Pakatan Harapan #PKR