MALAYSIA

"Jangan cabar saya" - Speaker Dewan Rakyat beri amaran jangan hina penjawat awam

Bernama 29/10/2025 | 07:30 MYT
Johari berkata wakil rakyat bebas mengkritik Jemaah Menteri termasuk menteri dan timbalan menteri, namun penjawat awam tidak boleh dijadikan sasaran kecaman atau penghinaan di dalam Dewan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul hari ini memberi amaran tegas kepada Ahli Parlimen agar tidak menghina penjawat awam ketika berbahas, sambil menegaskan tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang berbuat demikian.


Ringkasan AI
  • Tan Sri Johari Abdul memberi amaran tegas kepada Ahli Parlimen agar tidak menghina penjawat awam ketika berbahas di Dewan Rakyat, dan menegaskan bahawa tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang berbuat demikian.
  • Beliau menetapkan garis panduan bahawa kritikan hanya dibenarkan terhadap ahli politik seperti menteri dan timbalan menteri, manakala penjawat awam tidak boleh dijadikan sasaran kecaman atau penghinaan dalam sesi perbahasan.
  • Teguran itu dibuat susulan kekecohan semasa sesi penerangan Menteri MITI mengenai Perjanjian Perdagangan Timbal Balas Malaysia-AS, dan Johari turut mengingatkan agar tiada celahan atau perbahasan dibenarkan semasa sesi penggulungan dasar Belanjawan 2026 oleh MITI.


Johari berkata wakil rakyat bebas mengkritik Jemaah Menteri termasuk menteri dan timbalan menteri, namun penjawat awam tidak boleh dijadikan sasaran kecaman atau penghinaan di dalam Dewan.

"Saya serius tentang hal ini. Sesiapa pun, sama ada daripada pihak kerajaan atau pihak pembangkang, jika menghina penjawat awam, saya akan mengambil tindakan. Anda boleh memberi komen tentang ahli politik, tetapi jangan sesekali menghina penjawat awam."

"Jangan cabar saya. Tolonglah... ada orang kutuk Ketua Setiausaha (KSU), ada orang mengata macam-macam perkara, jangan buat begitu," katanya ketika menamatkan sesi penerangan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengenai Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-Amerika Syarikat di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau turut mengingatkan Ahli Parlimen supaya memberi tumpuan kepada isu dasar ketika sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 di peringkat dasar bagi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) esok, serta tidak mengaitkan pegawai kerajaan semasa mencelah atau bertanyakan soalan.

"Esok ialah waktu untuk menteri MITI menggulung. Jika ada soalan mengenai Perjanjian ART, anda boleh bertanya kepada menteri esok. Peringatan saya, anda boleh kritik menteri, anda boleh kritik timbalan menteri, tetapi jangan kaitkan penjawat awam. Itu sahaja," katanya.

Terdahulu, Dewan Rakyat menjadi kecoh ketika Tengku Zafrul memberikan penerangan dan menolak dakwaan bahawa perjanjian itu menggadaikan kedaulatan negara, sambil mempertahankan usaha pegawai kerajaan dalam rundingan tersebut.

Keadaan semakin tegang apabila Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) cuba mencelah sebelum ditegur Johari yang memaklumkan beliau tidak membenarkan sebarang celahan atau perbahasan bagi sesi tersebut.

Sebelum sesi penerangan bermula, Johari turut mengingatkan Ahli Parlimen supaya tidak mencelah atau berbahas sepanjang menteri memberikan penjelasan.

"Saya ingin berikan sedikit garis panduan. Pertama, saya tidak benarkan celahan, biar menteri teruskan ucapan. Kedua, saya tidak akan membenarkan perbahasan kerana kita ada giliran anggota pentadbiran termasuk menteri yang akan menggulung," katanya.

-- BERNAMA


#Speaker Dewan Rakyat #Johari Abdul #penjawat awam #ASEAN Summit 2025