JOHOR BAHRU: Menteri Besar Johor dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (AMMK) Negeri diingatkan supaya tidak mencampuradukkan urusan rasmi kerajaan negeri dengan kempen politik yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selama 14 hari bermula 5 Nov ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata perkara itu telah dimaklumkan menerusi mesyuarat Exco baru-baru ini dan semua pihak perlu menghormati ketetapan yang diputuskan pihak berkuasa sepanjang tempoh berkenaan bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.

"Sebelum ini, pilihan raya peringkat Parlimen dan negeri diadakan serentak, namun kali ini kerajaan negeri masih lagi berjalan seperti biasa kerana ada lagi kerajaan di situ. Jadi perkara yang perlu diambil kira oleh kerajaan negeri dan pegawai pengurus adalah untuk membezakan perkara melibatkan kempen dan urusan kerajaan.

"Ini bermakna, mana-mana hal parti melibatkan kempen dan sebagainya janganlah dicampuradukkan dengan urusan rasmi kerajaan negeri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Writ Kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Johor dan Penyampaian Amanat di sini malam tadi.

Turut hadir Pengarah SPR Johor Nor Nekman Jaimon.

Azmi berkata demikian ketika ditanya mengenai nasihat kepada pemimpin kerajaan negeri dan barisan Exco ketika menghadapi musim PRU15 ini.

Beliau berkata antara perkara yang tidak boleh dilakukan Datuk Onn Hafiz Ghazi dan AMMK ketika melakukan sebarang program urusan rasmi kerajaan negeri adalah menggunakan peralatan dan lambang sesebuah parti sepanjang tempoh berkenaan.

"Sekiranya majlis rasmi kerajaan pada waktu berkempen, tidaklah boleh menggunakan peralatan-peralatan berkempen parti, lambang parti dan sebagainya dalam urusan kerajaan yang melibatkan pegawai kerajaan sewaktu berkempen.

"Dalam ucapan susah untuk kita kenal pasti secara terus kerana kadang-kadang itu masing-masing punya persepsi tetapi yang kita lebihkan kepada fizikal seperti lambang parti. Sebab kita sudah ada kerajaan jadi kalau program kerajaan itu program kerajaanlah, kalau program parti itu dibuat mengikut kaedah yang dibenarkan SPR," tambahnya.

Terdahulu, Azmi menyerahkan writ kepada 26 Pegawai Pengurus PRU15 Johor.

Semalam, SPR menetapkan 19 Nov sebagai hari pengundian bagi PRU15, manakala hari penamaan calon 5 Nov dan pengundian awal 15 Nov ini.

SPR turut memaklumkan tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula 5 Nov bagi semua calon dan parti politik bertanding hingga pukul 11.59 malam, 18 Nov.

-- BERNAMA