MALAYSIA

Jangan cuba mencetuskan provokasi dan kekacauan, kata KPN

Astro Awani 12/10/2013 | 10:30 MYT
"Jangan cuba mencetuskan provokasi dan kekacauan"

Itu amaran Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang menasihati penyokong-penyokong parti politik dari luar, supaya tidak menimbulkan sebarang provokasi sepanjang tempoh Pilihanraya Kecil Di Dewan Udangan Negeri (DUN) Sungai Limau.

Beliau yang menyifatkan pengundi-pengundi N20 Sungai Limau sebagai matang dan akan menjaga keamanan serta keharmonian masyarakat yang sedia wujud di sini sejak sekian lama.

“Tinjauan polis mendapati tidak ada kawasan titik panas di Sungai Limau sepertimana yang digembar-gemburkan pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Terdapat 19 pusat daerah mengundi dan 17 pusat mengundi yang meliputi 58 saluran mengundi. Jadi kita telah siap sedia sepenuhnya untuk memastikan keadaan keselamatan terkawal dan semua pengundi-pengundi bebas untuk laksanakan tanggungjawab masing-masing untuk memilih siapa mereka suka untuk menjadi wakil mereka.

“Saya juga meminta pada penyokong-penyokong khususnya mereka dari luar sana supaya tidak menganggu gugat penduduk di kawasan Sungai Limau,” kata beliau.

Tambah beliau, anggota polis juga ditempatkan dalam jumlah yang mencukupi, bagi mengawal keselamatan sepanjang tempoh pilihan raya ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri taklimat persediaan pasukan polis Kedah, di Ibu Pejabat Polis Daerah Yan, menjelang Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Sungai Limau, 4 November ini.

Kerusi DUN Sungai Limau kosong selepas penyandangnya Tan Sri Azizan Abdul Razak yang juga bekas Menteri Besar Kedah, dari PAS, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar pada 26 September lepas berikutan jangkitan kuman dan kegagalan organ dalaman yang pelbagai setelah lebih empat bulan mengalami masalah kesihatan yang serius.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-13 pada 5 Mei lalu, Azizan mengekalkan DUN Sungai Limau selepas menang dengan majoriti 2,774 undi dalam saingan empat penjuru termasuk sepupu beliau, Mohd Fazillah Mohd Ali yang mewakili Barisan Nasional (BN).

SPR menetapkan 23 Oktober ini sebagai tarikh penamaan calon manakala tarikh pengundian pada 4 November akan datang.
#amaran #Khalid Abu Bakar #provokasi #Sungai Limau