KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia dinasihatkan supaya tidak berpecah belah dan termakan bisikan jahat pihak yang cemburu dengan keharmonian dikecapi negara selama ini.

Sebaliknya, rakyat perlu meraikan kepelbagaian perbezaan yang ada untuk bersama-sama memperkukuh seterusnya menjadi sebuah negara yang maju, makmur dan sejahtera.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berpendapat, pandemik COVID-19 merupakan waktu untuk rakyat keseluruhan bersatu hati mendepani wabak ini.

"Ingatlah, inilah masa yang sangat kritikal untuk kita untuk bersatu padu dan bersatu hati, dalam memastikan kemerdekaan dari kemelut pandemik COVID-19 yang merencatkan kehidupan normal yang kita jalani.

"Kita mesti menang dalam peperangan ini, dan kita tidak boleh mengalah.

"Perlu disemat juga, perpaduan rakyat merupakan tunjang kepada kestabilan sesebuah negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan program Semarak Perpaduan Bulan Kebangsaan 2021 anjuran Kementerian Perpaduan Negara yang disiarkan secara maya, hari ini.

Tambah Mohd Zuki, kemerdekaan yang dikecapi adalah berpaksikan kemuafakatan dan tolak ansur dalam meraikan kepelbagaian yang ada di negara kita.

Mengulas berkenaan sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, Mohd Zuki berkata, kerajaan mengekalkan tema tahun lalu iaitu, 'Malaysia Prihatin' seiring iltizam dan hasrat kerajaan menyemai rasa cinta semua rakyat kepada negara.

Menurut beliau, sempena sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun ini, Kementerian Perpaduan Negara menyusun pelbagai program berteraskan patriotisme dan semangat perpaduan.

Katanya, kementerian itu turut bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) yang juga Jawatankuasa Induk Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2021 (HKHM 2021), bagi memastikan program itu dapat dilaksanakan dengan lancar dan mencapai objektifnya.

"Program ini bertujuan meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan seluruh rakyat Malaysia dan memperkasa peranan serta pembabitan komuniti untuk sama-sama menyemarakkan semangat perpaduan tanpa mengira usia, agama, kaum, budaya dan adat resam," jelas Mohd Zuki lagi.