Semua masjid dan surau di negeri Selangor disaran untuk tidak menganjurkan majlis tazkirah bulan Ramadan di tengah-tengah solat tarawih bagi menjaga keselesaan dan keharmonian jemaah.

Mufti Selangor, Datuk Mohd. Tamyes Abd. Wahid berkata, pihak pengurusan masjid dan surau perlu mengambil kira pelbagai keadaan jemaah yang datang untuk menunaikan ibadat solat sunat tarawih.

"Ada (orang) bawa anak kecil, hendak balik cepat, begitu juga dengan pelajar sekolah yang mahu ulang kaji dan mereka yang perlu keluar awal pagi ke tempat kerja. Sekiranya tazkirah di tengah-tengah tarawih, ini akan mengganggu konsentrasi jemaah.

"Keharmonian masyarakat yang datang itu mungkin berbelah bagi, akhirnya orang datang bukan dalam keadaan seronok nak beribadah tetapi memikirkan tentang (perkara) yang akan berlaku selepas tarawih," katanya seperti dilaporkan oleh Sinar Harian.

Menurut Mohd. Tamyes, pihaknya sebelum ini sudah menyarankan dua waktu untuk masjid dan surau mengadakan majlis tazkirah Ramadan iaitu antara waktu solat Maghrib dan Isyak atau selepas selesai solat tarawih.

Jelas beliau, penyelarasan waktu tazkirah itu tidak akanmenjejaskan kehadiran jemaah kerana mereka yang berminat menghadirinya akan sanggup menunggu biarpun ia bermula lewat.

Sebelum ini, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria membuat saranan yang sama dengan nasihat kepada umat Islam supaya jangan merosakkan solat tarawih dengan menganjurkan majlis tazkirah di tengah-tengah solat sunat itu sehingga boleh mengganggu kekhusyukan jemaah.

Kerajaan negeri Pahang melalui Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-tugas Khas Pahang Syed Ibrahim Syed Ahmad sebelum itu mengeluarkan arahan melarang ceramah atau tazkirah semasa solat tarawih di negeri itu dan mana-mana masjid yang ingkar boleh dikenakan tindakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dalam reaksinya berkata keputusan yang dibuat oleh kerajaan negeri Pahang itu adalah berdasarkan perspektif negeri itu dan selaras bidang kuasa kerajaan negeri.

Dewan Pemuda PAS Malaysia dalam pada itu menyifatkan langkah kerajaan negeri Pahang itu sebagai tidak wajar dan lebih sebagai satu tindakan politik serta bersedia memberikan khidmat bantuan guaman kepada penceramah yang terlibat sekiranya dikenakan tindakan.