Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

Jangan guna pangkat, kedudukan buat kerja 'haram' - TPM Ahmad Zahid

Bernama 17/08/2025 | 09:00 MYT
Ahmad Zahid bercakap pada media ketika merasmikan Program Santunan Desa KEMAS Negeri Perak Bersama JPKK dan Komuniti KEMAS di Dewan Besar Bandar Baru Felcra Seberang Perak di sini hari ini. - Foto Bernama
PASIR SALAK: Anggota dan pegawai pasukan pertahanan serta keselamatan tidak seharusnya menyalahgunakan kedudukan mereka untuk melakukan sesuatu yang menyalahi undang-undang, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.


Ringkasan AI
  • Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa anggota dan pegawai pasukan keselamatan tidak boleh menyalahgunakan kuasa.
  • SPRM melancarkan Op Sohor, yang berjaya menahan 10 individu termasuk lima pegawai kanan ATM dan seorang warga Indonesia.
  • Beliau berharap insiden ini menjadi pengajaran kepada semua pasukan penguat kuasa agar tidak mengulangi kesalahan yang sama.


Ahmad Zahid berkata beliau bersetuju dengan kenyataan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan Sri Mohd Nizam Jaffar yang tidak akan berkompromi dalam isu penyalahgunaan kuasa.

"Saya bersetuju dengan kenyataan beliau yang tidak akan berkompromi mengambil tindakan terhadap persekongkolan antara pegawai-pegawai ATM, bukan sahaja dalam soal menjadi pemberi maklumat, tetapi terlibat secara langsung," katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah ditemui pemberita selepas merasmikan Program Santunan Desa Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Negeri Perak Bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Komuniti KEMAS di Dewan Besar Bandar Baru Felcra Seberang Perak.

Timbalan Perdana Menteri berkata penyalahgunaan kuasa perlu dihentikan kerana ia melibatkan imej pasukan keselamatan serta pertahanan negara yang mesti dipertahankan.

"Saya harap ini jadi satu pengajaran mahal untuk yang lain-lain, apa juga pasukan penguat kuasa supaya tidak melakukan kerja yang sama ataupun kerja-kerja berlainan dengan tujuan yang sama," katanya.

Rabu lepas, 10 individu termasuk pegawai kanan tentera berusia antara 30 hingga 55 tahun, serta seorang warga Indonesia ditahan di sekitar Lembah Klang melalui Op Sohor oleh Bahagian Perisikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama pasukan Anti-Corruption Tactical Squad (ACTS).

-- BERNAMA



#anggota ATM #Ops Sohor #Ahmad Zahid Hamidi #kerja haram #anggota keselamatan