KUALA LUMPUR: Orang ramai diminta untuk tidak menjawab sebarang panggilan telefon  daripada Pusat Respon Scam Kebangsaan (NSRC).

Menurut Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Polis Diraja Malaysia (PDRM), ASP Rahmat Fitri Abdullah, panggilan telefon tersebut merupakan kaedah terbaharu scammer untuk menjerat individu ke dalam jenayah scam.

NSRC, kata beliau, diwujudkan untuk menerima panggilan daripada pengadu yang dikhuatiri terjerumus dalam jenayah scam.

Justeru, badan berkenaan, tegas Rahmat Fitri, tidak akan sesekali melakukan panggilan telefon kepada sesiapa.

Selain PDRM, Kewujudan NSRC juga, jelasnya, merupakan inisitiaf bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Bank Negara Malaysia (BNM).

“PDRM, SKMM, Bank Negara dan ahli jawatankuasa terlibat telah mewujudkan kemudahan kepada seluruh masyarakat,  di luar sana, bagi mana-mana individu yang pernah menajdi mangsa scam untuk menghubungi NSRC.

“Sekarang ini scammer telah menggunakan nama NSRC ini untuk scam mangsa. Jadi jika anda menerima sebarang panggilan  telefon daripada NSRC dan kata dia mewakili NSRC, itu adalah scam,” ujarnya dalam satu perkongsian di platform TikTok.

Selain itu, beliau berkata, nombor talian aduan kepada NSRC hanya mempunyai tiga digit sahaja iaitu 997.

“NSRC hanya berfungsi untuk anda menghubungi mereka dan bukan mereka menghubungi anda. Petanda yang paling mudah untuk anda tahu itu adalah scam, sangat mudah kerana NSRC ini, nombor taliannya hanya tiga digit sahaja, iaitu 997.

“Dan jika yang hubungi anda itu berkata mereka mewakil NSRC keluar nombor lain, selain daripada tiga digit tersebut, itu adalah panggilan dari scammer,” tambahnya.

Justeru, beliau memohon mana-mana individu untuk sentiasa peka dan menghebahkan fungsi sebenar NSRC ini kepada orang lain bagi mengelakkan risiko menjadi mangsa jenayah scam.