Jangan keliru, NUR Alert bukan nama orang!

Ain Najhan
Mac 5, 2019 05:52 MYT
Kanak-kanak yang dilaporkan hilang akan dihebahkan melalui pemberitahuan NUR Alert. - Gambar hiasan REUTERS
Bagi rakyat Malaysia yang tidak mengetahui kewujudan ‘NUR Alert’, anda mungkin menyangka itu nama seseorang.
Tahukah anda apa itu ‘NUR Alert’?
National Urgent Response Alert (NUR Alert) merupakan sistem amaran awal untuk kanak-kanak yang hilang.
Sistem itu merupakan inisiatif kerajaan yang dikelolakan oleh Polis Diraja Malaysia untuk kanak-kanak yang berumur 12 tahun dan ke bawah demi melindungi mereka daripada eksploitasi, keganasan dan pengabaian.
Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), pengguna boleh mendapatkan maklumat terkini daripada NUR Alert menerusi Perkhidmatan Pesanan Multimedia (MMS).
Menerusi MMS, pengguna akan dipaparkan maklumat mengenai kanak-kanak yang hilang seperti foto, identiti, maklumat fizikal dan lokasi terakhir.
Untuk mendapatkan maklumat itu, rakyat Malaysia perlu memberi persetujuan terlebih dahulu melalui perkhidmatan selular masing-masing menggunakan sistem khidmat pesanan ringkas (SMS).
Sebarang pemberitahuan NUR Alert juga tidak akan dikenakan sebarang caj.
Dengan mendaftar NUR Alert, pengguna membantu menyelamatkan lebih banyak kanak-kanak yang dilaporkan hilang malah memudahkan pihak polis dalam menjalankan siasatan dan tangkapan dengan pantas.
#hilang #Kanak-kanak #National Urgent Response Alert #Nur Alert #Polis Diraja Malaysia #sistem amaran awal untuk kanak-kanak yang hilang #SKMM