MALAYSIA
Jangan keluar kenyataan cabar, perkecil institusi Raja Berperlembagaan - BN Perak

SAARANI: Penzahiran Seri Paduka Baginda mencerminkan keprihatinan yang amat berat Tuanku terhadap situasi buruk yang dihadapi segenap lapisan rakyat susulan penularan wabak COVID-19. - Pejabat MB Perak
IPOH: Barisan Nasional (BN) Negeri Perak menyeru semua pihak termasuk Ahli-Ahli Dewan Rakyat agar menghormati dan menunjung titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang membenarkan Parlimen bersidang secepat mungkin.
Pengerusi BN Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, mereka tidak perlu mengeluarkan sebarang kenyataan yang dilihat mencabar atau memperkecilkan institusi Raja Berperlembagaan.
Menurutnya, titah Seri Paduka Baginda itu adalah bersandarkan realiti bahawa Parlimen mesti berfungsi secara wajar bagi memastikan setiap keputusan yang diambil pihak kerajaan dalam menangani krisis COVID-19 dilakukan atas prinsip semak dan imbang tanpa mengabaikan hak dan pandangan rakyat jelata.
“Penzahiran Seri Paduka Baginda mencerminkan keprihatinan yang amat berat Tuanku terhadap situasi buruk yang dihadapi segenap lapisan rakyat susulan penularan wabak COVID-19 yang kian menghimpit kehidupan serta menghambat ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.Sehubungan itu, kata Saarani, BN Perak menjunjung kasih titah Seri Paduka Baginda yang menzahirkan pandangan bahawa Dewan Rakyat bersidang secepat mungkin bagi membolehkan wakil-wakil rakyat berbincang dan berbahas bagi menangani wabak COVID-19.
“BN Perak yakin titah baginda itu akan membuka jalan kepada usaha secara kolektif dalam kalangan Ahli-Ahli Dewan Rakyat untuk mencari jalan terbaik dalam menangani krisis kesihatan yang sedang dihadapi selain berusaha memulihkan ekonomi,” ujarnya.
Pada Rabu, Al-Sultan Abdullah menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka Baginda bertitah, ini bagi membolehkan Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dapat dibahaskan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat.
Jelas Ahmad Fadil lagi, Al-Sultan Abdullah amat menyedari tentang peranan Parlimen sebagai satu paltform penting untuk wakil-wakil rakyat bersidang bagi membincangkan isu khususnya berkaitan penularan wabak COVID-19.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami