Semua pihak termasuk parti politik harus bertanggungjawab menjaga keamanan negara dan bukannya cuba mengeruh keadaan melalui kaedah menghasut rakyat seperti membela golongan yang dikaitkan dengan jenayah.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata ada sesetengah pihak cuba menimbulkan kekecohan dengan membela golongan seperti itu selain cuba memburukkan pihak berkuasa dan kerajaan melalui fitnah palsu demi mencari pengaruh politik.

"Semua pihak perlu bertanggungjawab dan jangan ambil peluang untuk keruhkan keadaan sesama rakyat, sesama bangsa, agama dan lain-lain," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Hari Kesedaran Jenayah di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya pada Sabtu..

Beliau menjawab pertanyaan mengenai apa yang dilihat sebagai taktik pembangkang dan badan bukan kerajaan tertentu yang bertindak membela pihak yang dikaitkan dengan jenayah, dalam usaha meraih sokongan menjelang pilihan raya umum akan datang.

Majlis hari ini turut menyaksikan Ismail memakaikan pangkat ACP Kehormat kepada Pengerusi dan Pengasas Kumpulan Sunway, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah yang juga pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia Selangor.

Sunway Group merupakan antara pihak yang terlibat dalam usaha membangunkan aplikasi 'MyDistress' untuk telefon pintar yang dilancar tahun lepas bagi membolehkan orang ramai menghubungi polis dengan menghantar isyarat kecemasan jika mereka melihat atau menjadi mangsa jenayah.