Jangan layan Kang Chol - Anifah Aman

Israr Khalid
Februari 24, 2017 08:45 MYT
ANIFAH: Tiada keperluan untuk sesiapa melayan apa sahaja tuduhan dibuat Duta Besar Korea Utara ke Malaysia Kang Chol terhadap kerajaan Malaysia. - Gambar Astro AWANI / Shahir Omar
Tiada keperluan untuk sesiapa melayan kenyataan atau apa sahaja tuduhan dibuat Duta Besar Korea Utara ke Malaysia Kang Chol terhadap kerajaan Malaysia.
Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman menegaskan, ketika ini ruang perlu diberi untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) kekal fokus dalam siasatan untuk mencari punca kematian dan pihak bertanggungjawab atas pembunuhan Kim Jong Nam.
"Seluruh dunia tahu bahawa siasatan yang dijalankan adalah adil dan telus.
"Malah Duta Besar (Kang Chol) telah dimaklumkan tentang proses yang terlibat dalam siasatan, tetapi nampaknya dia terus khayal dan membuat penipuan serta tuduhan terhadap kerajaan Malaysia," katanya dalam sidang media pembuka tirai sempena lawatan negara Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud ke Malaysia di Wisma Putra hari ini.
BACA: Pembunuhan Kim Jong Nam: Suspek muntah-muntah akibat kesan sampingan 'Agen Saraf VX'
BACA: Pembunuhan Jong Nam: Rakyat Malaysia dinasihatkan tidak ke Korea Utara
Jelas Anifah, dasar luar Malaysia sentiasa berusaha dalam mengekalkan hubungan sihat antara negara-negara lain dan kebaikan itu sepatutnya dibalas semula.
Sebagai sebuah negara bertanggungjawab, Anifah berkata, Malaysia sentiasa menggalas kewajipan berdasarkan undang-undang antarabangsa dan amalan diplomatik sedia ada.
Tegas Anifah, Kang Chol sepatutnya menghormati dan memahami hasrat bukan sahaja kerajaan Malaysia tetapi seluruh rakyatnya.
"Duta Besar harus sedar bahawa dia perlu 'menikmati' keyakinan kerajaan Malaysia," ujarnya.
Sebelum ini, Kang Chol mendakwa polis dan kerajaan Malaysia seakan menyembunyikan sesuatu dan 'bersekongkol dengan negara-negara sekutunya' dalam penyiasatan kes pembunuhan abang tiri pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong Un.
Kenyataan itu disifatkan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Hussein sebagai biadab.
#Datuk Seri Anifah Aman #kim jong nam #Korea Utara