PIHAK kerajaan diminta tidak naikkan harga tambang mana – mana pengangkutan awam dalam negara kita kerana ianya dipercayai boleh memberi beban tambahan kepada para pengguna yang sudah pun terbeban dengan kehidupan yang sukar pada akibat daripada penularan wabak Novel Koronavirus (COVID-19) dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakkan Bersyarat (PKPB).

Ini susulan cadangan untuk membenarkan kenaikan harga tambang perkhidmatan awam dalam negara kita susulan proses penjarakan sosial selepas PKPB dikuatkuasakan pada 4 Mei yang lalu.

Saranan penjarakan sosial ini telah menyebabkan bilangan orang ramai yang dibenarkan untuk masuk ke sesebuah premis termasuk ke dalam pengangkutan awam dihadkan jumlahnya sekali gus menganggu sumber pendapatan dan keuntungan yang diperolehi oleh pihak pengendali premis dan perkhidmatan yang terlibat.

Saranan penjarakan sosial ini terpaksa dilakukan bagi membendung penularan wabak COVID-19 yang masih menular dalam negara kita serta hampir semua negara dalam dunia.

Sehingga kini, lebih empat juta orang yang telah dilaporkan dijangkiti dengan virus berkenaan dan lebih dua ratus ribu orang yang maut akibat daripada jangkitan dengan virus terbabit yang telah dilaporkan diserata dunia.

Memandangkan sehingga kini tiada vaksin yang boleh digunakan sebagai penawar terhadap virus COVID-19 ini, pelbagai langkah drastik yang terpaksa diambil oleh pihak kerajaan bagi membendung penularan virus COVID-19 termasuklah dengan saranan penjarakan sosial dalam kalangan orang ramai.

Melalui saranan penjarakan sosial ini, setiap orang harus melakukan proses jarakan antara satu sama lain sekurang-kurangnya lebih satu meter bagi memastikan mereka tidak dapat dijangkiti dengan mana-mana pihak yang telah dijangkiti dengan virus COVID-19.

Saranan penjarakan sosial ini harus dilakukan dalam negara kita sehingga kita menemui vaksin bagi mengubati virus COVID-19 demi kebaikan orang ramai.

Namun pihak kerajaan tidak patut membenarkan mana-mana pihak untuk meningkatkan harga barangan ataupun perkhidmatan dengan sewenang-wenangnya diatas pelaksanaan penjarakan sosial ini dalam negara kita.

Pihak kerajaan harus meminta pihak pengendali perkhidmatan awam yang terlibat untuk mencari alternatif lain selain daripada menaikkan harga perkhidmatan yang mereka tawarkan kepada orang ramai.

Pihak kerajaan harus melindungi kepentingan orang ramai yang kini sedang dibelenggu dengan kebimbangan penularan virus COVID-19 serta masalah kewangan.

Pihak kerajaan perlu memberi pertimbangan untuk wujudkan sebuah undang – undang khusus penjarakan sosial ini bukan sahaja untuk memastikan orang ramai mematuhi saranan penjarakan sosial ini malah ianya boleh juga digunakan bagi melarang mana – mana pihak untuk mengunakan isu penjarakan sosial ini untuk menaikkan harga barangan atau perkhidmatan mereka.

Saranan undang – undang khusus mengenai penjarakan sosial ini boleh dikuatkuasakan dalam negara kita untuk sementara waktu sehingga vaksin COVID-19 ditemui.

Dalam pada itu, selagi tiada kebenaran daripada pihak kerajaan, mana – mana pihak tidak boleh menaikkan harga barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan kepada pihak pengguna.

PKPB

Tindakan keras undang – undang boleh dikenakan terhadap mana – mana pihak yang didapati bersalah menaikkan harga barangan dan perkhidmatan secara berlebihan, keterlaluan dan tidak munasabah atau lebih dikenali sebagai aktiviti mencatut.

Menurut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723], mana – mana pihak yang melakukan kesalahan membuat keuntungan tinggi yang tidak munasabah akan dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723] kerana mencatut.

Sekiranya disabit kesalahan, bagi orang perseorangan, denda sebanyak RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua – duanya akan dikenakan bagi kesalahan pertama manakala kesalahan kedua dan berikutnya akan dikenakan denda sebanyak RM250,000 atau lima tahun penjara atau kedua – duanya, manakala bagi pertubuhan Perbadanan atau syarikat akan dikenakan denda sebanyak RM500,000 bagi kesalahan pertama manakala denda sebanyak RM1 juta bagi kesalahan kedua atau berikutnya.

Pihak pengguna perlu berani mengunakan hak serta kuasa mereka sebagai seorang pengguna bagi memastikan diri mereka tidak menjadi mangsa kepada mana – mana pihak yang tidak bertanggunjawab yang ingin mengambil kesempatan diatas penularan penyakit berjangkit COVID-19 yang berlaku pada ketika ini.

Sebarang aduan berhubung dengan masalah peningkatan harga yang melampau atau aktiviti pengambilan untung secara tidak munasabah yang dilakukan oleh pihak peniaga boleh disalurkan terus kepada Bahagian Penguatkuasa di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Semua pihak perlu mengamalkan sikap amanah serta bertanggungjawab dalam menjalankan aktiviti perniagaan mereka. Mana – mana pihak tidak boleh sesekali mengambil peluang diatas keadaan sekeliling bagi mengaut keuntungan segera serta keuntungan secara melampau daripada pihak pengguna yang sedang melalui kesusahan dan kepayahan hidup pada ketika ini.