MELAKA: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa agar solidariti yang ditunjukkan oleh penjawat awam terhadap kesengsaraan rakyat Palestin tidak dikecam atau dipolitikkan.

Presiden CUEPACS Datuk Adnan Mat berkata ini kerana tiada sebarang sekatan ke atas penjawat awam termasuk institusi pendidikan dalam menunjukkan sokongan terhadap tragedi kemanusiaan yang sedang menimpa rakyat Palestin.

"Kita sedia maklum ada ahli politik yang tidak selesa atau mengeluarkan kenyataan agar tindakan diambil ke atas penjawat awam khususnya guru yang menjalankan minggu solidariti di sekolah. Justeru, ingin dinyatakan bahawa kami penjawat awam bersama-sama dengan dasar kerajaan (menyokong Palestin) dan tiada masalah apabila menjalankan minggu solidariti di sekolah.

"Justeru jangan lihat laungan, pakaian atau persembahan itu sebagai ancaman kepada negara sebaliknya tanda bagaimana rakyat Malaysia bersolidariti dengan Palestin yang ketika ini diancam kepupusan etnik oleh rejim Israel," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Jualan Agro MADANI @CUEPACS di Dataran MBMB Ayer Keroh di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah Kanan Pemasaran Segar Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Shahrizan Sudiman.



CUEPACS-SOLIDARITI 2 (AKHIR) MELAKA



Beliau mengulas tindakan Kementerian Pendidikan (KPM) yang melaksanakan Minggu Solidariti Palestin pada 29 Okt hingga 3 Nov lepas bagi mendidik nilai-nilai manusiawi termasuk hak asasi manusia dan sifat ihsan dalam kalangan pelajar yang turut melibatkan kolej vokasional, kolej matrikulasi serta Institut Pendidikan Guru (IPG) di seluruh negara.

Bagaimanapun, beberapa wakil rakyat menyuarakan bantahan terhadap penganjuran minggu itu atas alasan antaranya sekolah perlu kekal menjadi ruang neutral untuk pembelajaran dan pemahaman selain menggesa KPM mengkaji semula keputusan menganjurkan Minggu Solidariti Palestin di sekolah serta institusi pendidikan awam.

Adnan berkata CUEPACS juga tidak mahu ahlinya menjadi mangsa yang diambil tindakan kerana garis panduan untuk menjalankan aktiviti itu sudah dimaklumkan kepada kementerian berkaitan lebih awal.

"Jadi tiada isu pelanggaran (peraturan) atau buat tindakan perhimpunan luar kawalan sebaliknya ia adalah dalam bentuk perarakan yang dibenarkan," katanya.

Mengulas penggunaan media sosial sebagai medium menzahirkan solidariti kepada Palestin, beliau berkata platform itu juga tidak perlu dilihat sebagai ancaman atau kumpulan yang melakukan provokasi terhadap pihak lain.

"Setakat ini, kami tidak menerima sebarang aduan atau tindakan yang diambil namun kita lihat ada media sosial ahli politik yang membuat kecaman terhadap penjawat awam," katanya.

-- BERNAMA