KUCHING: Pelajar yang tinggal di asrama sekolah dan institusi pendidikan di Sarawak tidak dibenarkan keluar atau pulang ke rumah.

Perkara itu diputuskan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam mesyuaratnya hari ini.

“Bagi pelajar-pelajar yang tinggal di Insitusi Pendidikan dan sekolah berasrama, mereka tidak dibenarkan keluar atau balik.

"Mereka dikehendaki untuk terus kekal di asrama masing-masing demi keselamatan diri dan keluarga," kata Pengerusi JPBN Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di sini, hari ini.

Uggah turut memaklumkan JPBNS telah menamatkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Batu Gong, Siburan, Serian .

“Keputusan saringan kedua tidak mendapati sebarang kes positif baharu dan juga tiada bukti yang menunjukkan jangkitan masih menular di kawasan tersebut,” katanya.

JPBN Sarawak turut bersetuju dengan syarat-syarat tambahan bagi Garis Panduan (SOP) yang telah disyorkan oleh Bahagian Kuching, Betong, Sibu, Bintulu dan Miri mulai 21 April 2021.

Maklumat lengkap berhubung SOP berkenaan akan dipaparkan di laman web Majlis Keselamatan Negara (MKN).