MALAYSIA

‘Jangan sesekali takut dengan kajian’ - Hannah Yeoh

Astro Awani 02/02/2026 | 13:15 MYT
Hannah menegaskan, kebijaksanaan merupakan elemen penting untuk pemimpin yang bertanggungjawab terhadap rakyat. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Semua pihak tidak seharusnya gentar dengan sebarang kajian yang dijalankan, sebaliknya perbandingan antara kebaikan dan keburukan dapat menghasilkan keputusan yang bermanfaat.


Ringkasan AI
  • Perbandingan kebaikan dan keburukan kajian penting untuk hasilkan keputusan bermanfaat, kata Menteri Hannah Yeoh.
  • Institusi pendidikan tinggi berperanan mendidik masyarakat membuat kajian mendalam guna hasilkan keputusan tepat.
  • Bantahan tajam daripada pemimpin-pemimpin UMNO, Pas, dan Bersatu mengenai kajian pilihan raya PBT dan Datuk Bandar KL yang dilakukan oleh Universiti Islam Antarabangsa.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata, peranan isu itu oleh institusi pendidikan tinggi bertujuan mendidik masyarakat meneliti dan memahami serta membuat kajian yang mendalam.

“Jika kita mahukan keputusan yang tepat dan meyakinkan, kita perlukan data dan fakta yang tepat, perbandingan pros and cons membolehkan kita membuat keputusan dengan cermat.

“Menjimatkan masa dan tenaga kita daripada melakukan kerja yang tidak membawa manfaat serta mengelakkan kesilapan,” katanya dalam kenyataan di Facebook miliknya hari ini.


Hannah menegaskan, kebijaksanaan merupakan elemen penting untuk pemimpin yang bertanggungjawab terhadap rakyat.

Sebelum ini, Hannah berkata, kajian mengenai pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemilihan Datuk Bandar Kuala Lumpur sedang dilaksanakan oleh Universiti Islam Antarabangsa pada hujung tahun lalu.

Namun, kenyataan itu mendapat bantahan keras dari pemimpin-pemimpin UMNO, Pas dan Bersatu.

Antaranya bekas Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh yang menggesa agar rancangan pilihanraya Datuk Bandar KL harus digagalkan.

Kali terakhir pilihan raya PBT dilaksanakan ialah pada tahun 1965 sebelum digantung sehingga 1968.

Penggantungan tersebut kekal sehingga kini apabila pentadbiran PBT dilaksanakan melalui pelantikan oleh kerajaan negeri berdasarkan Akta Kerajaan Tempatan 1976.


#Hannah Yeoh #pbt #Pemuda UMNO #Facebook