Skip to main content

Malaysia

Jangan sorok kes buli demi jaga nama sekolah - PM Anwar

Temu Anwar, Perdana Menteri, IPG
Anwar (foto) berkata sistem pendidikan tidak seharusnya hanya menumpukan kepada melahirkan pelajar cemerlang dari segi akademik atau profesional yang memiliki kemahiran teknikal semata-mata, sebaliknya perlu membentuk insan yang memahami nilai kemanusiaan dan menghormati orang lain. -Foto Astro AWANI
Advertisement

NILAI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan pihak sekolah supaya tidak menyembunyikan kes buli semata-mata bagi menjaga reputasi institusi pendidikan, sebaliknya mengambil tindakan segera bagi melindungi mangsa dan menangani masalah itu secara berkesan.

Beliau berkata, sebarang cubaan menutup kes buli adalah tindakan yang tidak wajar kerana kesannya terhadap mangsa amat besar.

“Ada yang menganggap buli sebagai perkara kecil, tetapi kesannya kepada mangsa amat mendalam. Saya tidak bersetuju jika sekolah cuba menutup kes semata-mata untuk melindungi imej mereka.

“Jika sebuah sekolah mempunyai 1,000 pelajar dan terdapat dua kes buli yang dilaporkan, guru besar atau pengetua tidak sepatutnya dipersalahkan.

"Mereka tidak bersalah kerana melaporkan kejadian itu, tetapi mereka bersalah jika tidak mengambil tindakan dan menyembunyikan kes tersebut,” katanya.

Beliau berkata demkian ketika berucap pada program Temu Anwar bersama pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pendidikan Teknik Nilai, di sini, pada Jumaat.

Anwar berkata, isu buli yang masih berlaku mencerminkan kelemahan usaha memupuk sahsiah dan nilai murni dalam kalangan pelajar, meskipun akses kepada pendidikan agama kini jauh lebih meluas berbanding sebelum ini.

Menurut beliau, sistem pendidikan tidak seharusnya hanya menumpukan kepada usaha melahirkan pelajar cemerlang dari segi akademik atau profesional yang memiliki kemahiran teknikal semata-mata, sebaliknya perlu membentuk insan yang memahami nilai kemanusiaan dan menghormati orang lain.

“Kita mungkin menjadi teknokrat, pakar teknologi maklumat atau memiliki ijazah kedoktoran (PhD), tetapi apakah nilai semua pencapaian itu jika kita tidak dididik untuk memahami kemanusiaan dan menghormati orang lain?” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa guru memikul tanggungjawab besar untuk memastikan institusi pendidikan kekal sebagai tempat yang melahirkan generasi berilmu, berakhlak mulia, beriman serta mempunyai sifat ihsan dan kasih sayang terhadap sesama insan.

 

Must Watch Video

Advertisement