Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

Jangan takut kibar Jalur Gemilang - Fahmi

Faida Rahim 17/08/2025 | 06:25 MYT
Fahmi (kiri) menggalakkan orang ramai mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda cinta dan semangat patriotik kepada negara. -Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Orang ramai tidak perlu takut memasang dan mengibarkan bendera Malaysia hanya kerana insiden Jalur Gemilang terbalik yang mencetuskan kontroversi ketika ini.


Ringkasan AI
  • Fahmi Fadzil menyeru orang ramai agar tidak takut mengibarkan Jalur Gemilang sempena bulan Kemerdekaan walaupun berlaku insiden pemasangan terbalik.
  • Beliau menekankan pentingnya semangat patriotik dan menyeru agar isu bendera ditangani dengan saling membantu, bukan ugutan atau herdikan.
  • Fahmi turut berkongsi pengalaman peribadi membetulkan bendera yang condong, menyeru rakyat hidup rukun dan saling memahami.


Ahli Parlimen Lembah Pantai Datuk Fahmi Fadzil berkata, bertepatan dengan sambutan bulan Kemerdekaan bulan ini, orang ramai digalakkan mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda cinta dan semangat patriotik kepada negara.

“Dalam suasana kita menyambut bulan Kemerdekaan, saya terima maklum balas di kalangan beberapa orang, mereka risau sekiranya berlaku kejadian tersalah pasang, adakah kumpulan-kumpulan tertentu akan datang gertak, buli mereka.

“Sebab itu dalam ucapan saya hari ini, saya berikan mesej jangan takut kibarkan Jalur Gemilang malah berbanggalah dengan Jalur Gemilang kita,” katanya.

Fahmi berkata demikian di Program Penyemarakan Seni Budaya @ Komuniti Pantai Dalam 2025 di PPR Kerinchi, Lembah Pantai pada Ahad.

Dalam pada itu, Fahmi turut mengingatkan orang ramai untuk tidak melakukan tindakan seperti mengherdik atau ugutan terhadap individu berhubung isu Jalur Gemilang.

“Kira sebagai rakyat Malaysia, bila lihat sesuatu perkara melibatkan Jalur Gemilang, tak perlu libatkan ugutan. Kita bantu perbetulkan semula.

“Saya sendiri di kawasan perumahan saya, bila lihat Jalur Gemilang yang dipasangkan itu condong dan takut jatuh, saya pasangkan balik dengan betul.

“Jadi saya minta bahawa kita di Malaysia perlu hidup rukun aman damai, saling faham memahami dan patuh pada undang-undang,” katanya.





#Kibar Jalur Gemilang #Datuk Fahmi Fadzil #Ahli Parlimen Lembah Pantai #Sambutan Bulan Kemerdekaan