MALAYSIA
Jangan terjebak pinjaman haram - KPKT

Nga Kor Ming sarankan orang ramai, supaya pinjaman dibuat melalui saluran sah, iaitu pemberi pinjam wang berlesen yang berdaftar di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400). - Bernama
PUTRAJAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyeru orang ramai supaya tidak terjebak dengan pinjaman haram, kata Menteri berkenaan Nga Kor Ming.
Sebaliknya, beliau menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan pinjaman melalui saluran sah, iaitu pemberi pinjam wang berlesen yang berdaftar di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400).
Di bawah akta itu, kadar faedah bagi pinjaman tanpa cagaran tidak boleh melebihi 18 peratus setahun dan bagi yang bercagar tidak melebihi 12 peratus setahun.
"Pemberi pinjam wang juga tidak boleh mengenakan jumlah kadar faedah pada suatu jumlah yang melebihi jumlah pokok," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.Kenyataan itu dikeluarkan susulan kejadian kebakaran tiga rumah teres di Taman Tasek Gelugor Utama yang dipercayai dilakukan oleh pemberi pinjaman wang haram.
Nga berkata Seksyen 29(B) Akta 400 melarang pemberi pinjam wang berlesen atau wakilnya daripada mengunjungi kediaman peminjam atau tempat mereka mencari rezeki bagi tujuan kutipan bayaran balik pinjaman termasuk dengan tujuan mengugut peminjam.
"Sekiranya berlaku pelanggaran terhadap peruntukan ini, orang ramai digesa untuk segera membuat laporan kepada pihak KPKT atau polis supaya tindakan sewajarnya dapat diambil terhadap pihak yang terbabit" katanya.
Orang ramai juga dinasihatkan untuk sentiasa menyemak pemberi pinjam wang yang berlesen dan berdaftar dengan KPKT melalui aplikasi i-Kredikom atau menghubungi kementerian.
KPKT memandang serius kegiatan pinjaman wang haram oleh along yang mengambil kesempatan terhadap golongan berpendapatan rendah dan terdesak serta menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan rakyat.
"Along atau pemberi pinjaman wang haram sering mengambil kesempatan terhadap individu yang terdesak akibat kesempitan kewangan dengan memerangkap mereka dalam kitaran hutang yang ganas melalui kadar faedah yang melampau, gangguan serta keganasan," katanya.
Beliau turut menggesa pihak polis mengambil tindakan tegas dan menyeluruh bagi membanteras kegiatan itu sehingga ke akar umbi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami