ALOR GAJAH: Seramai 1.2 juta pencarum yang sebelum ini memilih untuk tidak menyertai LINDUNG 24 Jam disaran mendapatkan semula perlindungan itu, susulan peningkatan kos rawatan ketika ini.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata, perkara itu perlu diberi penekanan memandangkan dalam tempoh 1 Jun hingga 30 September lalu sahaja, LINDUNG 24 Jam merekodkan 10,424 tuntutan atau bersamaan kadar purata 85 kes sehari.
Justeru katanya, insentif pelepasan cukai tambahan RM150 setahun menerusi Belanjawan 2027 boleh dimanfaatkan sebagai galakan kepada pencarum untuk kembali menyertai skim berkenaan.
“Janganlah apabila hujan baru kita nak cari payung (kerana) sekarang kos perubatan sangat tinggi. Dahulu, kos rawatan dalam puluhan ribu ringgit, sekarang mencecah ratusan ribu ringgit, malah ada juga yang boleh mencecah RM1 juta.
“Kemalangan itu dipanggil kemalangan sebab ia jadi secara tiba-tiba. Jadi, kita perlu cari perlindungan untuk diri sendiri dan jangan hanya sedar apabila dah terlewat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan program i LINDUNG u Gegar @ Melaka di Dataran Keris, di sini, pada Sabtu.
Mengulas lanjut Ramanan berkata, dalam perkembangan berkaitan, kerajaan memperuntukkan RM30 juta bagi membantu 368,098 pekerja gig menerusi insentif padanan caruman LINDUNG Kendiri sebanyak 35 peratus, khusus untuk pekerja e-hailing dan p-hailing berpendapatan RM3,000 ke bawah.
Kadar padanan itu berpotensi meningkat kepada 50 peratus sekiranya penyedia platform turut berkongsi tanggungjawab membiayai caruman pekerja masing-masing.
Ramanan berkata, penguatkuasaan terhadap penyedia platform bagi memastikan pematuhan kewajipan caruman PERKESO telah bermula sejak 1 Oktober lalu, selaras dengan peruntukan Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872).
Dalam perkembangan lain, kerajaan akan membawa Skim Pengembara ke Parlimen yang bertujuan menyediakan perlindungan kepada rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara dan berulang-alik antara Malaysia dengan negara tempat mereka bekerja.
“Skim pengembara akan dibawa kepada dalam sidang Parlimen selepas mendapatkan kelulusan jemaah menteri.
"(Perkara) ini akan dilaksanakan seperti yang dijanjikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri semasa pengumuman beliau pada Hari Pekerja 2026,”ujarnya.
Tambahnya, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed turut dijadual mengadakan sesi libat urus di Johor Bahru, bersama lebih 800 wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura bagi memberikan penerangan mengenai cadangan skim itu.