KUALA LUMPUR: Ancaman kumpulan militan perlu ditangani dengan tegas bermula dari peringkat akar umbi lagi, meskipun individu berkenaan hanya memiliki bahan bacaan.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kumpulan-kumpulan tersebut ketika ini mempunyai rangkaian di peringkat serantau dan antarabangsa.

Justeru, jelas beliau, jika perkara tersebut dipandang remeh, Malaysia juga berisiko untuk diserang.

“Sebab itu kita nak menangani isu-isu keganasan, kita tak boleh tunggu.

“Kita jangan tunggu serangan berlaku, baru kita nak tangkap. Saya dulu dekat Bukit Aman, saya sentiasa membuat tangkapan proaktif. Kalau dia ada buku (berkaitan fahaman atau rancangan keganasan) atau berinteraksi, dan kita ada bukti, kita tangkap dan tuduh di mahkamah.

“Bukan kita nak menganiayai orang. Ada orang pertikaikan, kenapa Datuk Ayub tangkap hanya kerana memiliki buku berkenaan dengan keganasan? Memiliki buku pun satu kesalahan di bawah undang-undang Kanun Keseksaan yang kita ada,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Maraton Intelek 5763 2021 Kemerdekaan Generasi Masa Hadapan, Ancaman Keselamatan Negara: Perspektif Malaysia & Johor yang disiarkan secara langsung di Facebook i-LEAD pada Isnin.

Turut menyertai program tersebut sebagai ahli panel ialah Pensyarah Kanan Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Dr Ahmad El-Muhammady.

Berkongsi lebih lanjut, Ayob Khan berkata maklumat yang diperolehi berhubung kegiatan kumpulan militan atau keganasan akan disiasat serta diambil tindakan berdasarkan akta sedia ada termasuk Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

“Kita perlu tangkap agar kita memastikan mereka tak buat serangan sebab idealogi mereka lain, dia tak macam kumpulan dulu... bagi mereka, untuk bunuh kita, darah dan harta benda kita adalah halal. Kita boleh dibunuh sebab tak mengikuti mereka.

“Kita ini (dilabelkan) kafir dan polis yang menyokong kerajaan, (adalah) taghut. Jadi benda-benda macam ini kita kena faham betul-betul. Ancaman ini bukan ancaman yang tidak serius, dan sengaja dibuat-buat oleh polis untuk menimbulkan ketakutan.

"Ini dalam konteks keganasan baharu, semua negara menghadapi ancaman yang sama. Kalau kita tak tangani atau ambil tindakan dengan betul, mereka akan buat serangan di Malaysia," ujarnya.

Ayob Khan yang sebelum ini bertugas sebagai Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas, Cawangan Khas, Bukit Aman menambah, sejak 1995, polis telah membuat tangkapan membabitkan militan-militan tempatan yang mempunyai rangkaian dengan Kumpulan Al-Qaeda.

Beliau turut berkongsi kejayaan membuat tangkapan ke atas Wali Khan Amin Shah, yang terbabit dalam serangan pertama ke atas Pusat Dagangan Dunia (WTC) New York, Amerika Syarikat pada 1993.

Katanya lagi, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan militan kepada agensi antarabangsa termasuk siasatan berkaitan 9/11 atau serangan 11 September.

Sementara itu, Ahmad berkata tiga ancaman besar dalam negara ketika ini ialah ekstremisme, radikalisasi serta keganasan.

Jelas beliau, ancaman berkenaan boleh muncul dalam bentuk politik, agama, serta sosial.

Paling membimbangkan, Ahmad berkata kumpulan-kumpulan tersebut turut menyasarkan golongan muda, dengan modus operandi yang kerap digunakan ialah merekrut melalui laman sosial.

"Caranya mudah sahaja iaitu mewujudkan satu kumpulan, dan mendekati individu berkenaan. Kemudian, mereka akan letak kandungan, dan bagi mereka yang tidak tahu, (perkara ini) menarik.

"Apabila kumpulan itu berkembang, dan berlakulah proses indoktrinasi (menanam sesuatu fahaman)," katanya.