SANDAKAN: Ahli Parlimen Libaran, Datuk Zakaria Mohd Edris menasihatkan penduduk yang tinggal berhampiran dengan kawasan sungai agar tidak menggunakan rakit untuk menyeberang memandangkan ia sangat berbahaya kepada keselamatan diri mereka sendiri.

Beliau merujuk kepada kejadian seorang lelaki berusia dalam lingkungan 50 tahun yang dilaporkan dibaham buaya di kawasan sungai berhampiran Taman Kenari, Batu 7, Sandakan pada Jumaat lalu.

BACA: Hanya jumpa kepala mangsa dibaham buaya

"Kita tidak mahu perkara ini berlaku lagi dan saya rasakan kena nasihat penduduk-penduduk yang ada sekarang ini supaya jangan gunakan lagi rakit-rakit yang kecil ini untuk menyeberang untuk berulang-alik, ini sangat berbahaya sekali.

"Saya ada bincang dengan pegawai keselamatan tadi untuk sementara ini barangkali kita pihak kerajaan boleh bantu untuk bagi satu besar supaya mereka senang berulang-alik dari sini ke seberang dan ke mari dan mungkin barangkali keselamatan pun terjamin.

"Tetapi bagi saya sendiri, kita akan mohon kepada pihak kerajaan oleh kerana di seberang sana pun ramai orang dan penduduk kita yang ada sekarang ini supaya dapat dibina satu jambatan untuk keselesaan orang-orang kampung di kawasan ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media semasa melawat lokasi kejadian di kawasan sungai berhampiran Taman Kenari, Batu 7 pada Ahad.

Sementara itu, Astro AWANI melaporkan bahawa Pasukan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) telah berjaya menjumpai bahagian kepala mangsa pada Ahad.

SAR memasuki hari ketiga itu, menjumpai bahagian kepala mangsa kira-kira 300 meter dari lokasi lelaki dikenali sebagai Abdul dilaporkan hilang.

Difahamkan bahawa mangsa yang baru pulang dari menunaikan solat Isyak di masjid berdekatan cuba menyeberang sungai menggunakan rakit untuk pulang ke rumahnya sekitar jam 8.50 malam, Jumaat.

Bagaimanapun, lelaki berkenaan tiba-tiba disambar buaya sebelum dilaporkan hilang.

Mengulas lanjut, Zakaria merakamkan ucapan terima kasih kepada SAR terdiri daripada Polis, Bomba dan Maritim yang telah  bertungkus-lumus semasa menjalankan operasi secara bersama itu.

"Ucap terima kasih kepada pihak Polis, pihak Maritim dan juga daripada pihak Bomba kerana mereka telah bertungkus-lumus bekerjasama sehingga mangsa mayat ini ditemui.

"Jangan di antara kita yang ada di kampung ini senang-senang untuk menyeberang melalui satu apa kita panggil rakit yang kecil, rakit yang kecil ini jangan, bahaya," tegasnya.