Kadar kes jangkitan HIV akibat hubungan seksual dalam kalangan penduduk negeri ini menunjukkan peningkatan 34.6 peratus pada tahun lalu berbanding hanya 15.6 peratus pada 2010.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Mohamad Omar berkata daripada jumlah itu, sebanyak 7.9 peratus melibatkan kes seksual bebas iaitu homoseksual dan biseksual, kesan peningkatan masalah sosial di kalangan masyarakat.

"Bagaimanapun, kes jangkitan HIV yang berpunca daripada suntikan penagih dadah menunjukkan trend penurunan kerana hanya 102 kes dilaporkan pada tahun lalu berbanding 292 kes pada 2010," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Projek Hulu Terengganu Menuju Sifar HIV 2020 sempena Sambutan Hari AIDS Sedunia 2016.

Mohamad berkata bermula Januari hingga Jun tahun ini, sebanyak 66 kes telah dicatatkan dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 13.7 peratus berpunca daripada seksual bebas.

Mohamad berkata, kesedaran penghidap HIV untuk mendapatkan rawatan juga agak rendah iaitu hanya 30 peratus penghidap mendapatkan rawatan terutama dalam kalangan penagih dadah.

Mengikut rekod, sejak 1988 sehingga Jun tahun ini, sebanyak 9,563 kes HIV dicatatkan di negeri itu.

"Kita memang memandang serius hal ini...justeru kita menyasarkan untuk menjadikan Hulu Terengganu sebagai daerah perintis sifar HIV menjelang 2020 melalui Projek "Cities Getting to Zero" yang diperkenalkan di peringkat kementerian sejak 2012.

"Melalui program sifar HIV ini, menjelang 2020 kita nak menuju sifar HIV yang mana kita nak kurangkan stigma dan diskriminasi terhadap pengidap HIV Aids, kita nak sifarkan kes baharu dan sifar kematian kerana HIV/AIDS," katanya.

Mohamad berkata Hulu Terengganu dipilih kerana di daerah tersebut terdapat satu Komuniti Cakna untuk penghidap HIV.

"Di Baitul Cakna Kampung Baru Ajil, kumpulan penghidap HIV diterima masyarakat dan mereka menjalani kehidupan seperti orang lain yang turut menjalani aktiviti pertanian untuk sumber pendapatan," katanya. -- Bernama