Jangkitan HIV menerusi hubungan seks meningkat, kalangan penagih berkurangan

Tan Su Lin
Disember 1, 2015 03:56 MYT
Jangkitan menerusi seks sahaja menyumbang lebih 78 peratus kes baharu tahun lalu, satu peningkatan amat drastik berbanding hanya 25 peratus kes pada 2005. -Gambar hiasan/AFP
Sekiranya 10 tahun dahulu, kebanyakan kes jangkitan HIV AIDS di negara ini membabitkan golongan penagih dadah, namun kini trend jangkitan HIV sudah berubah kepada kaedah hubungan seks.
Menurut statistik Kementerian Kesihatan, jangkitan menerusi seks sahaja menyumbang lebih 78 peratus kes baharu tahun lalu, satu peningkatan amat drastik berbanding hanya 25 peratus kes pada 2005.
Daripada faktor jangkitan menerusi hubungan seks, 50 peratus adalah menerusi hubungan heteroseksual, manakala 28 peratus adalah melalui hubungan homoseksual.
Pengerusi Yayasan AIDS Malaysia, Prof Dr Adeeba Kamarulzaman berkata program pertukaran jarum dan alat suntikan serta terapi gantian Metadon di bawah program kemudaratan telah berjaya mengurangkan kadar jangkitan HIV.
Namun tumpuan kini perlu diberikan bagi mengelak jangkitan HIV daripada penagih dadah kepada pasangan mereka.
"Apa yang kami lihat adalah sekiranya dahulu jangkitan HIV dalam kalangan penagih dadah amat tinggi, namun sekarang ia telah beralih kepada pasangan mereka," katanya dalam satu temu bual bersama Astro AWANI.
Dr Adeeba turut menarik perhatian tentang trend peningkatan jangkitan HIV menerusi hubungan seks sesama lelaki (MSM).
Jangkitan HIV melalui hubungan homoseksual meningkat hampir tiga kali ganda kepada 984 kes pada 2014 berbanding 301 kes lima tahun sebelumnya.
Namun akibat stigma masyarakat, ramai yang dijangkiti HIV masih enggan tampil mendapatkan rawatan awal.
"Salah satu faktor mereka tidak mendedahkan status oleh sebab stigma kerana mereka HIV positif dan kedua, stigma sebagai penguna dadah. Jadi kita tahu mereka tidak akan memberitahu pasangan mereka sehingga terlambat," katanya.
Yang pasti, tumpuan perlu diberikan kepada golongan berisiko ini bagi mengawal jangkitan baharu HIV.
"Kita perlu tingkatkan usaha kesedaran, pemerkasaan, penggunaan kondom, khususnya dalam kalangan pekerja seks dan lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki.
"Paling penting bagaimana menghapuskan stigma agar lebih ramai akan tampil untuk menjalani ujian saringan HIV serta mendapatkan rawatan," katanya.
Biarpun jumlah kes HIV secara keseluruhan di negara ini menurun, epidemik AIDS masih belum berakhir.
Kajian menunjukkan dengan pengesanan dan rawatan awal, jangkitan HIV dapat dicegah daripada menular.
#AIDS #heteroseksual #HIV #homoseksual #jangkitan #MSM #penagih dadah