MALAYSIA

Janji turun harga petrol direalisasi hasil tatakelola baik, pembersihan amalan ketirisan - PM Anwar

Bernama 26/09/2025 | 15:32 MYT
Anwar berkata usaha menurunkan harga petrol untuk dinikmati rakyat itu, janji PKR dan Pakatan Harapan sejak dahulu dan ia akan direalisasikan menerusi program BUDI MADANI RON95 (BUDI95). - Foto BERNAMA
SANDAKAN: Pelaksanaan subsidi harga petrol RON95 pada harga RM1.99 untuk rakyat Malaysia, hasil daripada usaha tatakelola pentadbiran yang baik serta pembersihan amalan ketirisan kewangan negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Ringkasan AI
  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim umum subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter untuk rakyat Malaysia melalui program BUDI95 bermula 30 September.
  • Langkah ini hasil tatakelola baik kerajaan, pengurusan kewangan telus dan usaha membanteras rasuah, dengan penjimatan dijangka antara RM2 bilion hingga RM3 bilion.
  • Anwar menegaskan harga ini lebih rendah berbanding negara pengeluar petrol lain, dan Belanjawan 2026 akan menyediakan lebih banyak bantuan serta inisiatif untuk rakyat.


Anwar berkata usaha menurunkan harga petrol untuk dinikmati rakyat itu, janji PKR dan Pakatan Harapan sejak dahulu dan ia akan direalisasikan menerusi program BUDI MADANI RON95 (BUDI95).

Beliau berkata usaha itu dapat direalisasikan atas tekad Kerajaan MADANI dalam memastikan negara ditadbir dengan telus, serta amalan pengurusan kewangan negara yang baik dan membasmi rasuah.

"Ini janji kita sejak dahulu. Tetapi kita ambil masa (untuk realisasikan), hutang (negara) terlalu banyak, rasuah berleluasa, ketirisan dan kehilangan wang juga terlalu besar.

"Sebab itu saya bersama rakan-rakan dalam Jemaah Menteri dan kepimpinan, telah mengambil keputusan untuk clear the mess. Negara kita sebenarnya boleh jadi kaya, tetapi hanya jika kita ada sikap yang bersih dan jujur. Kalau tidak, kita tidak akan senang," kata beliau.

Anwar yang juga Presiden PRK berkata demikian ketika berucap pada Program Rapat Umum dan Himpunan Keadilan sempena 27 Tahun Reformasi di Dewan Yu Yuan, di sini malam ini.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sabah Datuk Mustapha Sakmud.

Pada Isnin, Anwar mengumumkan pelaksanaan petrol RON95 pada harga RM1.99 berbanding RM2.05 seliter bermula 30 Sept bagi rakyat tempatan, tanpa mengambil kira tahap pendapatan menerusi BUDI95.

Di bawah program itu, anggota polis dan tentera akan mula menikmati harga RON95 pada RM1.99 seliter esok (Sabtu) manakala penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pada Ahad, sebelum diperluas kepada seluruh rakyat Malaysia pada 30 Sept.

Anwar berkata tiada negara termasuk negara pengeluar petrol yang menurunkan harga untuk rakyat mereka, sebaliknya Malaysia mengambil langkah berani menurunkan harga petrol untuk dinikmati rakyat.

"Arab Saudi antara pengeluar petrol terbesar dunia pun harga RM2.60 seliter, tapi Malaysia RM1.99 seliter untuk warganegara. Untuk warga asing kita beri harga RM2.60.

"Ini usaha terbaik yang kita boleh buat untuk rakyat keseluruhannya," kata beliau.

Beliau berkata menerusi BUDI95 kerajaan dijangka mendapat penjimatan antara RM2 bilion hingga RM3 bilion dan hasil penjimatan itu akan disalurkan semula kepada rakyat menerusi pelbagai bantuan lain.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan bulan depan akan menggariskan lebih banyak bantuan dan inisiatif untuk dinikmati rakyat.

-- BERNAMA


#BUDI95 #pembersihan amalan ketirisan kewangan #Perdana Menteri Anwar Ibrahim #harga petrol