MALAYSIA

JAS akui kekurangan 3,000 kakitangan, hanya 31 peratus premis dapat diperiksa

Umavathi Ramayah 03/11/2025 | 08:20 MYT
Wan Abdul Latiff (duduk, tengah), berkata buat masa ini pihaknya hanya memiliki 1,111 pegawai, jumlah yang jauh lebih rendah berbanding keperluan sebenar. - Gambar/ BERNAMA
KUALA LUMPUR : Jabatan Alam Sekitar (JAS) berdepan kekurangan lebih 3,000 pegawai teknikal dan penguat kuasa, sekali gus menjejaskan keberkesanan pemantauan terhadap premis industri serta menangani aduan pencemaran di seluruh negara.


Ringkasan AI
  • JAS hanya mempunyai 1,111 pegawai teknikal dan penguat kuasa, jauh lebih rendah daripada keperluan sebenar, menyebabkan hanya 20,000 daripada 64,000 premis industri dapat diperiksa setiap tahun, manakala lebih 44,000 premis tidak dapat dipantau.
  • Selain pemeriksaan berkala, JAS turut menerima lebih 11,000 aduan pencemaran setiap tahun dan perlu memantau lebih 33 juta kenderaan bermotor, menyebabkan keutamaan diberikan kepada premis berisiko tinggi dan aduan kecemasan.
  • Cadangan penambahan lebih 3,000 pegawai telah dikemukakan kepada kerajaan bagi memperkukuh penguatkuasaan dan kawal selia alam sekitar secara menyeluruh di masa hadapan.


Ketua Pengarah Alam Sekitar, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar, berkata buat masa ini pihaknya hanya memiliki 1,111 pegawai, jumlah yang jauh lebih rendah berbanding keperluan sebenar.

Kekangan itu menyebabkan hanya 20,000 daripada 64,000 premis perindustrian dapat diperiksa setiap tahun. Ini bermakna lebih 44,000 atau 69 peratus permis tidak dapat diperiksa.

"Berdasarkan punca pencemaran daripada industri dan projek pembangunan, kita mempunyai 64,000 premis yang perlu dipantau. Dengan kekuatan 1,111 pegawai teknikal dan penguat kuasa sahaja, jumlah itu jelas tidak mencukupi," ketika Sesi Dialog Ketua Pengarah Alam Sekitar bersama Pengamal Media di sini, pada Isnin.

Selain pemeriksaan berkala ke atas industri, Wan Abdul Latiff berkata, JAS turut menerima lebih 11,000 aduan orang ramai setiap tahun, tidak termasuk pemantauan kenderaan bermotor yang melebihi 33 juta unit di seluruh negara.

"Setiap tahun, masih ada lebih 40,000 premis yang tidak dapat diperiksa. Jadi kita terpaksa memberi keutamaan kepada premis berisiko tinggi seperti kilang di kawasan tadahan air, pengeluar bahan toksik serta mereka yang pernah dikenakan tindakan,” jelasnya.

Selain itu kata beliau, keutamaan turut perlu diberikan kepada aduan kecemasan yang diterima dari semasa ke semasa.

"Ada masa pegawai sudah dijadualkan untuk pemeriksaan, namun terpaksa mengubah laluan susulan aduan orang ramai. Ini berlaku di seluruh negara," katanya.

Jelas beliau, cadangan menambah 3,000 pegawai baharu sudah dikemukakan kepada kerajaan bagi memperkukuh penguatkuasaan dan kawal selia alam sekitar di masa hadapan.




#Jabatan Alam Sekitar #pemeriksaan #kekurangan kakitangan #pencemaran