MALAYSIA

JAS Johor keluarkan 580 kompaun, RM 1.16 juta sepanjang 2025

Bernama 15/01/2026 | 11:45 MYT
Mohd Famey berkata kompaun itu dikenakan melalui 13 siri operasi penguatkuasaan melibatkan 590 industri, premis berlesen dan loji kumbahan di negeri ini. - Gambar fail/Bernama
JOHOR BAHRU: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor mengeluarkan sebanyak 580 kompaun berjumlah RM1.16 juta atas pelbagai kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (PPKAS) sepanjang tahun lepas.


Ringkasan AI
  • JAS Negeri Johor mengeluarkan 580 kompaun bernilai RM1.16 juta atas pelbagai kesalahan alam sekitar mengikut PPKAS sepanjang tahun lepas, melibatkan 590 industri, premis berlesen, dan loji kumbahan.
  • Operasi penguatkuasaan dijalankan melalui kerjasama lima cawangan dan empat unit penguatkuasaan JAS untuk memastikan kepatuhan undang-undang alam sekitar, dengan 530 Arahan Lapangan, 200 Notis Arahan, dan 24 POK dikeluarkan.
  • JAS Johor menekankan komitmen dalam memastikan pembangunan mampan negeri tanpa mengabaikan alam sekitar, sambil menyediakan khidmat nasihat dan seminar untuk meningkatkan kesedaran industri terhadap tanggungjawab alam sekitar.


Pengarahnya Dr Mohd Famey Yusoff berkata kompaun itu dikenakan melalui 13 siri operasi penguatkuasaan melibatkan 590 industri, premis berlesen dan loji kumbahan di negeri ini.

Beliau menjelaskan operasi berkenaan dijalankan hasil kerjasama lima cawangan dan empat unit penguatkuasaan JAS bagi memastikan undang-undang alam sekitar sentiasa dipatuhi.

Menurutnya, sebanyak 530 Arahan Lapangan, 200 Notis Arahan serta 24 Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) turut dikeluarkan sepanjang operasi tersebut, khususnya bagi kes yang menyebabkan pencemaran.

"JAS Johor sentiasa memberikan komitmen berterusan untuk memastikan pembangunan negeri berjalan secara mampan tanpa mengorbankan kelestarian alam sekitar," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Selain penguatkuasaan, beliau berkata JAS turut menyediakan khidmat nasihat serta menganjurkan lima siri seminar bagi meningkatkan tahap pematuhan dan tanggungjawab industri terhadap alam sekitar.

Orang ramai pada masa sama diminta melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar melalui talian 1-800-88-2727, e-mel ke aduan_k@doe.gov.my, atau portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.

-- BERNAMA



#Jabatan Alam Sekitar #POK #pembangunan negeri #loji kumbahan