JOHOR BAHRU: Jabatan Alam Sekitar Negeri Johor (JASNJ) sedang menyiasat individu yang disyaki bertanggungjawab dalam pencemaran Sungai Kim Kim, Kampung Bukit Pulai, Pasir Gudang, di sini kata Pengarahnya Dr Mohd Famey Yusoff.

"Pegawai penyiasat JASNJ masih menjalankan siasatan terperinci dan mengumpul kesemua bahan bukti," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

JAS dalam satu kenyataan pada Sabtu, berkata pasukan Unit Penguat Kuasa Industri JAS yang menjalankan siasatan mendapati air sungai itu berwarna hitam selain mengesan bau busuk sepertimana aduan diterima dan telah mendapatkan butiran maklumat kejadian daripada penduduk sekitar.

"Siasatan awal mendapati pencemaran disyaki berpunca daripada pelepasan air sisa daripada premis bukan industri yang menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan sehingga menyebabkan air sisa tanpa dirawat mengalir memasuki sungai berhampiran," menurut kenyataan itu.

Seorang penduduk di Kampung Bukit Pulai, dekat Pasir Gudang di sini, mendakwa sudah biasa menghidu bau busuk dari Sungai Kim Kim lebih 20 tahun lalu, namun warna air sungai yang hitam seperti kopi O dengan bau yang meloyakan pertama kali berlaku.

Ahmad Ali, 59, yang menetap di kampung itu sejak 1992 berkata pencemaran terbaharu di sungai itu dikesan empat hari lepas.

"Pada mulanya ketika udara berbau busuk, hendak makan pun tidak berselera, namun saya fikirkan ia perkara biasa.

"Tetapi ketika pukul 6 petang, sewaktu membawa cucu bersiar-siar, saya melihat sungai di belakang rumah menjadi warna kehitaman dan sangat busuk," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di sini pada Ahad.

Seorang lagi penduduk, Noorma M. Noor , 54, berkata dia dan dua anaknya seakan sudah "kebal" dengan bau busuk yang berlaku di tempat tinggalnya sejak beberapa tahun lepas, namun berharap masalah itu dapat ditangani segera demi keselesaan dan keselamatan penduduk.

"Saya kecewa sangat, sebelum ni bau busuk sahaja, kali ini ada sisa hitam pula di sungai.

"Belum lega dengan pencemaran kimia dua tahun lepas, penduduk di sini diuji lagi dengan pencemaran.

"Mujur hujan pada semalam dan hari ini sedikit sebanyak kesan-kesan kehitaman hilang dibawa air," katanya.

Dia pada masa sama memuji tindakan pantas Jabatan Alam Sekitar Negeri Johor yang membuat tindakan susulan menggunakan dron dan menguji kualiti air selepas menerima aduan orang awam berkenaan air hitam dan berbau busuk di sungai berkenaan.

Tinjauan Bernama di lokasi kejadian pada Ahad mendapati warna air sungai berkenaan semakin baik berikutan hujan lebat sejak pagi namun bau yang yang tidak menyenangkan masih lagi ada di kawasan sekitar.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R Vidyananthan, dalam satu kenyataan berasingan, mengingatkan kepada mana-mana sektor yang dibenarkan beroperasi dalam tempoh Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara supaya mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan tidak menyebabkan berlakunya pencemaran.

-- BERNAMA