MALAYSIA

JAS kenal pasti premis berpotensi punca air hitam di kolam tadahan Bukit Rambai

Bernama 04/02/2026 | 02:07 MYT
Keadaan kolam takungan banjir disyaki punca sungai sepanjang 10km terjejas. - Foto Sinar Harian
MELAKA: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Melaka mengesahkan telah mengenal pasti sebuah premis yang berpotensi menjadi punca pencemaran air berwarna hitam yang dikesan di kolam tadahan banjir di Kawasan Perindustrian Bukit Rambai di sini.


Ringkasan AI
  • Jabatan Alam Sekitar (JAS) Melaka mengenal pasti premis yang berpotensi mencemarkan air berwarna hitam di Kolam Tadahan Banjir Bukit Rambai.
  • Siasatan menunjukkan kemungkinan pelepasan sisa cecair oleh kilang berhampiran sebagai punca keadaan tersebut.
  • JAS Melaka mengambil tindakan penguatkuasaan dan pemantauan intensif serta menegaskan komitmen untuk menjaga alam sekitar dan keselamatan awam.


Pengarah JAS Melaka Rosli Mustafa berkata siasatan awal mendapati kehadiran air berwarna hitam itu berkemungkinan berpunca daripada pelepasan sisa cecair oleh sebuah kilang berhampiran yang terlibat dalam pemprosesan buangan terjadual.

"Keadaan itu menimbulkan kebimbangan terhadap risiko pencemaran alam sekitar serta keselamatan awam, sekali gus mendorong pihak kita menjalankan siasatan lanjut dan pemantauan secara intensif bagi mengenal pasti punca sebenar pencemaran berkenaan.

"Beberapa siri siasatan dan aktiviti pemantauan telah dijalankan bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab mengalirkan sisa tersebut ke dalam kolam tadahan banjir itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata setakat Isnin lepas, JAS Melaka telah mengenal pasti satu premis yang disyaki terlibat dan mengarahkan penghentian serta-merta sebarang aktiviti pelepasan yang berpotensi menyebabkan pencemaran.

Rosli berkata tindakan penguatkuasaan turut diambil selaras dengan peruntukan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap peraturan alam sekitar.

Keputusan muktamad berhubung punca pencemaran tersebut, katanya bergantung kepada analisis sampel oleh Jabatan Kimia yang dijangka diperoleh dalam tempoh antara seminggu hingga sebulan.

"Buat masa ini, tumpuan siasatan adalah untuk mengenal pasti punca sebenar yang menyebabkan pencemaran air berwarna hitam itu," katanya.

Rosli berkata JAS Melaka tidak akan berkompromi terhadap sebarang perbuatan mencemar alam sekitar dan akan terus menjalankan pemantauan rapi serta mengambil tindakan tegas bagi memastikan kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan orang awam sentiasa terpelihara.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan berkaitan pencemaran alam sekitar boleh menghubungi Hotline JAS 1800-88-2727.

-- BERNAMA

#JAS Melaka #pelepasan sisa cecair kilang #kolam tadahan Bukit Rambai #Air Hitam