JAS kesan tapak pelupusan sampah haram di Sungai Petani

Sharifah Zakiah berkata JAS memberi amaran tegas kepada kontraktor dan pihak yang terlibat dalam aktiviti pengendalian dan pelupusan sisa pepejal agar mematuhi segala peraturan dan prosedur yang ditetapkan. - Gambar fail/Bernama
SUNGAI PETANI: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah mengesan satu kawasan dipercayai bekas lombong di Kampung Pokok Machang, Bukit Selambau dekat sini, yang dijadikan tapak pelupusan sampah domestik atau sisa pepejal haram.
Ringkasan AI
- Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah mengesan kawasan bekas lombong di Kampung Pokok Machang sebagai tapak pelupusan sampah domestik atau sisa pepejal haram.
- Aktiviti ini dilakukan tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling, berpotensi mencemarkan air dan tanah serta memberikan impak negatif kepada ekosistem alam sekitar dan kesihatan awam.
- JAS memberi amaran tegas kepada kontraktor dan pihak terlibat untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan, dan tindakan undang-undang serta denda tinggi menanti sekiranya didapati bersalah.
"Aktiviti tersebut dipercayai dilakukan oleh kontraktor yang mengambil sampah domestik dari kawasan industri di sekitar daerah Kuala Muda," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pelupusan sampah domestik atau sisa pepejal di kawasan yang tidak dibenarkan berpotensi menyebabkan pencemaran air dan tanah seterusnya memberikan impak negatif terhadap ekosistem alam sekitar dan kesihatan awam.
Beliau berkata kes berkenan akan disiasat di bawah Peraturan 4(1) Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pencemaran daripada Stesen Pemindahan Sisa Pepejal dan Kambus Tanah) 2009.
Sharifah Zakiah berkata JAS memberi amaran tegas kepada kontraktor dan pihak yang terlibat dalam aktiviti pengendalian dan pelupusan sisa pepejal agar mematuhi segala peraturan dan prosedur yang ditetapkan untuk melindungi alam sekitar.
Tegas beliau, sekiranya didapati bersalah, pihak yang berkenaan akan berdepan denda yang tinggi serta tindakan undang-undang yang boleh memberi kesan serius kepada operasi mereka.
"JAS juga telah merujuk kes tersebut kepada Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) untuk tindakan penguatkuasaan dan pemantauan di bawah bidang kuasa agensi berkenaan," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


