[TERKINI] AS Turunkan Tarif ke 19% Terhadap Malaysia – Semak Laporan Penuh Di Sini
MALAYSIA

JAS siasat kejadian ikan mati di Bagan Datuk

Bernama 10/06/2025 | 15:15 MYT
Jabatan Alam Sekitar (JAS) Cawangan Teluk Intan sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kematian ribuan ekor ikan di Kampung Sungai Payung dan Kampung Sungai Tiang Baroh di Bagan Datuk yang berlaku semalam. - Foto Sinar Harian
IPOH: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Cawangan Teluk Intan sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kematian ribuan ekor ikan di Kampung Sungai Payung dan Kampung Sungai Tiang Baroh di Bagan Datuk yang berlaku semalam.

Menurut kenyataan JAS Cawangan Teluk Intan, aduan berkenaan kejadian itu diterima pada 12.50 tengah hari tadi.

Berdasarkan pemerhatian hari ini, air di dalam parit berhampiran dua kampung berkenaan seakan-akan berwarna merah keruh serta tenang.

"Semasa pemeriksaan dijalankan, penduduk kampung berhampiran memberitahu JAS bahawa banyak ikan mati dan berkemungkinan berpunca daripada operasi kilang memproses belacan di kawasan berdekatan," menurut kenyataan itu.

JAS memaklumkan siasatan akan diteruskan esok dengan tumpuan di beberapa saliran yang dipercayai menjadi tempat pelepasan sisa buangan oleh kilang terbabit dan hasil siasatan akan didedahkan kepada umum sebaik sahaja punca sebenar kejadian dikenal pasti.

Terdahulu, media melaporkan penduduk kampung berkenaan gempar apabila beribu-ribu bangkai ikan timbul di permukaan parit berhampiran dua kampung itu.

-- BERNAMA

#JAS #ikan mati #Jabatan Alam Sekitar #Bagan Datuk