Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

JAS siasat tumpahan minyak di Jeti Marina Labuan

Bernama 18/08/2025 | 14:00 MYT
Menurut JAS Labuan, pihaknya menerima kerjasama jitu daripada Jabatan Laut Malaysia, Perbadanan Labuan serta Lembaga Pelabuhan Labuan dalam siasatan kes terbabit. - Gambar Facebook JAS
LABUAN: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Labuan sedang menjalankan siasatan berhubung tumpahan minyak di Jeti Marina, di sini bagi mengenal pasti pihak terlibat kejadian itu.

JAS Labuan memaklumkan siasatan berkenaan turut melibatkan kerjasama Perbadanan Labuan dan Jabatan Laut Malaysia.

"Insiden itu dilaporkan kepada JAS Labuan pada 14 Ogos dan pegawai penguat kuasa telah dihantar ke lokasi untuk melakukan pemeriksaan pada 2.30 petang hari sama.

"Pegawai penguat kuasa JAS Labuan menemukan tompokan sisa minyak dianggarkan antara 500 hingga 1,000 liter yang terkumpul di sepanjang jeti dan melekat pada bot-bot di kawasan itu," menurut JAS Labuan dalam kenyataan hari ini.

Menurut jabatan itu, pihaknya telah mengambil sampel sisa minyak dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.

Notis arahan segera juga telah dikeluarkan kepada pengendali jeti dan kerja-kerja pembersihan telah dijalankan oleh Petroleum Industry of Malaysia Mutual Aid Group (PIMMAG).

Menurut JAS Labuan, pihaknya menerima kerjasama jitu daripada Jabatan Laut Malaysia, Perbadanan Labuan serta Lembaga Pelabuhan Labuan dalam siasatan kes terbabit.

Jabatan berkenaan turut mengingatkan orang ramai bahawa pelepasan apa-apa minyak tanpa lesen ke dalam perairan Malaysia adalah satu kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan tindakan undang-undang boleh diambil terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab.

"JAS Labuan sentiasa komited melaksanakan pemantauan serta penguatkuasaan bagi mengawal pencemaran marin.

"Orang ramai diseru menyalurkan sebarang aduan berkaitan pencemaran alam sekitar melalui talian bebas 087-408 772, hotline 010-270 8772, atau portal aduan https://eaduan.doe.gov.my," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA



#Jabatan Alam Sekitar #pencemaran marin #alam sekitar #PIMMAG