Skip to main content

Malaysia

Jaslinda akan perjelas spekulasi selepas berehat

TAPAH, 9 Jun -- Pendaki wanita Jaslinda Saludin, 49, menjawab pertanyaan wartawan ketika dibenarkan keluar selepas menjalani rawatan di Hospital Tapah hari ini.  Jaslinda yang ditemui pemberita ketika meninggalkan hospital kira-kira 1.50 tengah hari dilihat berjalan menggunakan tongkat dan berbalut kaki kirinya sebelum menaiki kenderaan Honda City yang dipandu suaminya untuk pulang ke rumah.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Jaslinda memberikan lambaian sewaktu menaiki kenderaan Honda City dipandu suaminya untuk pulang ke ibu kota hari ini.- Foto Bernama

TAPAH: Pendaki wanita yang ditemukan selamat selepas hampir dua minggu hilang di kawasan Gunung Batu Putih, Jaslinda Saludin, dibenarkan pulang hari ini selepas menerima rawatan selama tiga hari di Hospital Tapah.

Jaslinda, 49, yang meninggalkan hospital kira-kira 1.50 tengah hari ini, kelihatan berjalan menggunakan tongkat dengan kaki kirinya berbalut, sebelum menaiki kenderaan Honda City dipandu suaminya untuk pulang ke ibu kota.

Ketika ditemui pemberita, Jaslinda melahirkan rasa syukur atas keadaan kesihatannya yang semakin baik serta merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia yang tidak putus-putus mendoakan keselamatannya.

“Alhamdulillah, saya sihat. Terima kasih banyak. Terima kasih semua atas titipan doa buat saya dan saya sangat-sangat menghargainya.

"Saya juga nak memohon maaf kepada semua kerana telah menyusahkan banyak pihak sepanjang insiden ini, minta maaf dan terima kasih semua," katanya.

Mengenai pelbagai dakwaan dan spekulasi yang timbul sepanjang kehilangannya, Jaslinda berkata dia akan mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu pada masa sesuai.

“Kenyataan media kemudian nanti saya bagi tahu. Yang benda-benda tu semua yang dengar tu fitnah dan tidak betul, nanti saya bagi kenyataan,” katanya yang mahu berehat dan memulihkan keadaan kesihatannya.

Image
TAPAH, 9 Jun -- Pendaki wanita Jaslinda Saludin, 49, menjawab pertanyaan wartawan ketika dibenarkan keluar selepas menjalani rawatan di Hospital Tapah hari ini.  Jaslinda yang ditemui pemberita ketika meninggalkan hospital kira-kira 1.50 tengah hari dilihat berjalan menggunakan tongkat dan berbalut kaki kirinya sebelum menaiki kenderaan Honda City yang dipandu suaminya untuk pulang ke rumah.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Pendaki wanita Jaslinda Saludin, 49, menjawab pertanyaan wartawan ketika dibenarkan keluar selepas menjalani rawatan di Hospital Tapah hari ini. - Foto Bernama

Sementara itu, suami Jaslinda, Haszman Othman, 61, berkata pengalaman dilalui isterinya wajar menjadi titik perubahan kepada penganjur aktiviti pendakian untuk memperkukuh aspek keselamatan peserta.

Menurutnya, antara langkah boleh dipertimbangkan ialah menetapkan syarat penyertaan lebih ketat termasuk mewajibkan pemeriksaan kesihatan dan mengehadkan penyertaan mengikut faktor umur bagi mengurangkan risiko kecemasan ketika berada di kawasan pergunungan.

“Syarat perlu diperketat, mungkin had umur bawah 45 tahun dan perlu ada laporan kesihatan sebelum dibenarkan menyertai aktiviti, jika tidak, ia boleh menyusahkan banyak pihak,” katanya.

Pada masa sama, Haszman berkata minat Jaslinda terhadap aktiviti mendaki masih kekal meskipun berdepan pengalaman mencemaskan selepas tersesat di kawasan hutan selama dua minggu.

"Bagaimanapun sebarang aktiviti pendakian yang disertai isteri saya selepas ini perlu dilakukan dengan lebih berhati-hati. Boleh, tapi kena bawa anak-anak dan kena lebih berjaga-jaga,” katanya.

Sabtu lepas, Jaslinda ditemukan dalam keadaan lemah berhampiran Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh kira-kira 5 petang oleh seorang penduduk kampung.

Wanita itu dilaporkan hilang ketika menyertai pendakian Trans Spencer Chapman pada 23 Mei melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh bersama-sama 13 individu dan dua Malim Gunung Perhutanan (MGP).

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement