Jatuh sakit ketika berjalan bersama anjing di taman, puteri Thailand alami 'masalah kesihatan serius'
Agensi
Disember 15, 2022 13:22 MYT
Disember 15, 2022 13:22 MYT
BANGKOK: Raja Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn dilaporkan bergegas pulang ke Bangkok untuk berada di sisi anak perempuannya selepas menerima panggilan kecemasan.
Memetik laporan Royal Central, situasi terkini masih belum diketahui bagaimanapun difahamkan Puteri Bajrakitiyabha berusia 44 tahun dilaporkan mengalami masalah kesihatan serius.
Wartawan Keluarga Diraja Thailand, Andrew MacGregor Marshall, berkata Puteri Bajrakitiyabha jatuh sakit ketika berjalan bersama anjingnya manakala Raja Vajiralongkorn terbang pulang tidak lama selepas itu.
"Beberapa sumber diraja mengatakan Puteri Bajrakitiyabha mengalami serangan jantung hari ini ketika berlari bersama anjingnya di taman negara Khao Yai. Bapanya Raja Vajiralongkorn bergegas ke sana dengan helikopter,” kata MacGregor Marshall.
Sejurus kejadian, difahamkan, rawatan awal bantuan pernafasan cuba dilakukan ke atas Bajrakitiyabha selama sejam, sebelum kemudiannya beralih menggunakan alat bantuan pernafasan automatik. Namun, keadaannya tidak menunjukkan sebarang tanda positif.
Dalam pada itu, penduduk di Bangkok dilaporkan melihat tiga helikopter tentera pulang ke ibu negara Thailand dari arah Khao Yai.
Sementara itu, pelbagai spekulasi dan khabar angin mula kedengaran mengenai di media sosial sejak semalam.
Selain daripada media kepercayaan keluarga diraja, berita tentang Bajrakitiyabha belum mendapat liputan meluas di Thailand kerana menghormati institusi diraja.
Rata-rata rakyat Thailand yang mengetahui berita tersebut mendoakan agar Bajrakitiyabha segera sembuh dan berharap tiada khabar dukacita menjadi penutup tahun 2022 ini buat rakyat negara itu.