KUALA LUMPUR: Cadangan mewujudkan jawatan pembantu guru perlu dilaksanakan kerajaan dalam masa terdekat bagi mengurangkan beban tugas pendidik di negara ini.

Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Anuar Ahmad berpendapat, usaha itu akan memberi impak besar dalam kalangan guru terutama meningkatkan keupayaan para guru ketika proses pembelajaran di dalam bilik darjah.

Tambah beliau dengan penambahbaikan ini, negara akan melahirkan lebih ramai guru yang bahagia seterusnya mewujudkan persekitaran ceria dalam kalangan murid.

"Kita faham bahawa ada sekolah-sekolah yang mungkin ada tidak memerlukan jawatan pembantu guru disebabkan bilangan murid yang tidak ramai, guru yang mencukupi.

"Tetapi kita juga tahu bahawa banyak sekolah kita yang berada di dalam keadaan yang sangat sesak sehingga guru tidak mampu memberi tumpuan disebabkan terlalu ramai murid dalam kelas," katanya dalam program Pantau Agenda Reformasi pada Selasa. 

Dalam pada itu, Anuar memaklumkan jawatan pembantu guru dimaksudkan tidak perlu berada di dalam kelas bersama guru tetapi membantu dalam pengurusan terutama di sekolah yang memiliki ramai pelajar.

"Usaha atau cadangan untuk mewujudkan jawatan pembantu guru bermula daripada 2018 dan kebanyakan di negara maju, di mana sistem pendidikan negara mereka itu begitu berkualiti daripada segi
ranking, keberkesanan, kesejahteraan murid dan juga kegembiraan guru iaitu dengan mewujudkan jawatan pembantu guru.

"Pembantu guru adalah bukan pihak yang mengajar dalam bilik darjah, tetapi mereka membantu guru dalam urusan lain serta dapat meningkatkan keupayaan guru apabila mereka melaksanakan pembelajaran dalam kelas," katanya.

Jelasnya lagi, beliau berharap Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek terus memberi komitmen penuh dalam memastikan beban tugas guru dapat dikurangkan secara drastik sekurang-kurangnya menjelang sebelum sesi persekolahan 2024 bermula.

Sementara itu, beliau juga berharap meskipun beban guru dapat dikurangkan, para pendidik tidak boleh berhenti dengan apa yang mereka ada pada hari ini iaitu untuk terus meningkatkan keupayaan, pengetahuan, sikap dan kemahiran mereka dalam menjadi guru yang lebih berkesan.